Ahad, 22 Mei 2022 | 3:17pm
Pensyarah Kanan, Akademi Bahasa, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Kang Myoung Sook. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Pensyarah Kanan, Akademi Bahasa, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Kang Myoung Sook. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Perkembangan bahasa Melayu bergantung program pendidikan jitu

KUALA LUMPUR: Hampir tidak ada buku akademik, bahan pengajaran dan kamus rujukan dalam bahasa Melayu untuk dijadikan bahan pengajaran dan pembelajaran di Korea Selatan.

Situasi ini antara faktor yang membantutkan perkembangan penyebaran bahasa Melayu di negara itu, sekali gus menyekat usaha pengantarabangsaannya di peringkat global.

Mendedahkan realiti sebenar di institusi pendidikan tingi di Korea Selatan yang menyediakan program bahasa Melayu, Pensyarah Kanan, Akademi Bahasa, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Kang Myoung Sook, berkata perkara ini wajar diberi perhatian khususnya oleh kerajaan Malaysia.

"Pada pandangan saya, kerajaan Malaysia mesti menyokong termasuk dengan cara memberi buku atau bahan pengajaran untuk digunakan di peringkat institusi pengajian tinggi antarabangsa.

"Sebagai contoh, Indonesia mengambil langkah besar apabila kamus Korea-Indonesia yang disusun pada 1995 dinaik taraf dan diterbitkan semula pada 2016.

"Namun, sehinga kini, tidak terdapat kamus seperti itu untuk pengajaran bahasa Melayu di Korea, sedangkan kamus yang memuatkan perkataan (dalam bahasa Melayu) amat diperlukan," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Bahasa Melayu dalam Pendidikan Tinggi di Korea Selatan: Kajian kes di Hankuk University of Foreign Studies' pada sidang kedua Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang diadakan di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, hari ini.

Tiga panel lain yang turut membentangkan kertas kerja menampilkan tajuk 'Bahasa Melayu Dalam Pelbagai Bidang Pendidikan' itu adalah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, penyair, Dr Raja Rajeswari Seetha Raman dan Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Dr Mohamad Zain Musa.

Myoung Sook berkata, bahan pengajaran dalam bahasa Melayu perlu diperluaskan kerana ia adalah antara perkara kritikal bagi memastikan pelajar asing menguasai bahasa dan perbendaharaan kata secara menyeluruh.

Katanya, kerajaan Malaysia juga digesa memainkan peranan lebih proaktif dalam mengembang dan mempromosikan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa.

"Tidak boleh mengharapkan keajaiban tanpa usaha, mesti bekerja keras, dan lantik orang yang betul untuk melakukan tugas penting ini," katanya.

Sementara itu, Mohamad Zain yang membentangkan perkembangan bahasa Melayu di Kemboja berkata, hasrat Malaysia untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu di peringkat ASEAN perlu disusuli dengan langkah pemantapan khususnya dalam sektor pendidikan.

"Saya mencadangkan program pengantarabangsaan yang mantap dilaksanakan di Kemboja. Pertama, hantar guru bahasa Melayu ke mana-mana sekolah (di Kemboja) yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar atau subjek.

"Kedua, sediakan program latihan mengajar untuk guru di sekolah berkenaan. Ketiga, beri biasiswa untuk program bahasa melayu, sekurang-kurangnya bagi yang mengambil pengajian Melayu," katanya.

Beliau menegaskan, hanya melalui pendidikan yang jitu dan mapan, hasrat mengantarabangsakan bahasa Melayu dapat direalisasikan.

"Saya kira pembangunan masyarakat bermula dengan pendidikan. Mereka (anak-anak) belajar hari ini, esok, mereka yang akan memimpin dan teruskan dasar sesebuah negara, sekali gus memainkan peranan memartabatkan bahasa dan bangsa," katanya.

Berita Harian X