Ahad, 22 Mei 2022 | 11:19am
Foto yang tular di media sosial. - Foto ihsan pembaca
Foto yang tular di media sosial. - Foto ihsan pembaca

Siasat kejadian murid makan bersila di lantai - i-Guru

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) diminta menjalankan siasatan berhubung kejadian sekumpulan murid sebuah sekolah duduk dan makan di atas lantai yang mana gambar kejadian itu tular di media sosial.

Presiden Persatuan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata siasatan perlu dilakukan bagi mengetahui kebenaran dan mengelak tanggapan serta persepsi negatif oleh pelbagai pihak.

"Jika benar berlaku, ia amat dikesalkan dan tidak sepatutnya terjadi. Mungkin pihak sekolah boleh menyediakan alas tikar untuk murid duduk bersila supaya nampak tertib serta enak dipandang.

"Selain itu, pihak sekolah juga sepatutnya menyediakan tempat makan yang sesuai dan bersih kepada murid, malah tak wajar diperlakukan sebegitu terutama ketika sambutan Hari Guru sedangkan tetamu kenamaan disediakan meja makan khusus," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar menunjukkan sekumpulan murid duduk bersila di atas lantai sambil makan dipercayai ketika sambutan Hari Guru berdasarkan kain rentang yang terpapar dalam gambar berkenaan.

Turut tular gambar seorang lelaki menyerahkan sampul duit raya kepada murid serta gambar guru duduk di atas kerusi bersama meja makan berhias yang dikatakan berlaku dalam majlis sama sehingga mengundang kemarahan warganet.

Rata-rata warganet menyuarakan rasa tidak puas hati kerana membiarkan murid duduk di atas lantai tanpa alas dan menganggap kejadian itu tidak beradab.

Mohd Azizee berkata, pengurusan sekolah perlu cakna hal berkaitan kebersihan supaya sekolah menjadi tempat selamat dan bersih.

Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) pula sewajarnya membantu menaik taraf lantai kantin yang sudah uzur dengan yang baharu dan memenuhi piawaian ditetapkan.

Berita Harian X