Jumaat, 20 Mei 2022 | 11:25pm

Ekonomi negara tunjuk pertumbuhan positif

KUALA TERENGGANU: Ekonomi negara menunjukkan pertumbuhan positif sejak negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik dan pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata situasi itu memberi kelegaan kepada semua sektor termasuk pelancongan yang menjadi antara sektor penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Beliau berkata, berdasarkan perangkaan Jabatan Imigresen Malaysia pada 12 Mei lalu, negara menerima kemasukan seramai 604,457 warga asing sejak pintu sempadan antarabangsa dibuka semula pada 1 April lalu.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 93.8 peratus atau 567,025 orang adalah pelancong (dan) di awal pengumuman pembukaan semula sempadan antarabangsa negara, MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) telah menyasarkan kemasukan kira-kira dua juta pelancong asing pada tahun ini dengan pendapatan RM8.6 bilion.

"Sehubungan itu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM230 juta dalam Belanjawan 2022 di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan yang memberikan manfaat kepada penggiat seni, budaya dan warisan di bawah sektor pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 di Dataran Drawbridge di sini, malam ini.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengingatkan masyarakat supaya mengamalkan kawalan kendiri walaupun kelonggaran diberikan demi keselamatan diri dan keluarga tercinta.

"Alhamdulillah, kemeriahan Aidilfitri dapat kembali dirasai setelah hampir dua tahun kita tidak dapat menyambutnya (dan) saya amat gembira melihat Keluarga Malaysia dapat pulang ke kampung halaman meraikan hari raya tahun ini dengan ibu bapa, ahli keluarga, sanak saudara serta kenalan.

"Teruskan amalan ziarah menziarahi sepanjang Syawal ini bagi mengeratkan silaturahim di antara kita," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan tetamu pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 di Dataran Drawbridge, Kuala Terengganu, malam ini. STR/GHAZALI KORI
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan tetamu pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 di Dataran Drawbridge, Kuala Terengganu, malam ini. STR/GHAZALI KORI
Berita Harian X