Jumaat, 20 Mei 2022 | 11:07pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 di Dataran Drawbridge di sini, malam ini. STR/GHAZALI KORI
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 di Dataran Drawbridge di sini, malam ini. STR/GHAZALI KORI

Konflik Russia-Ukraine, kekejaman rejim Israel di Palestin perlu dijadikan iktibar

KUALA TERENGGANU: Keluarga Malaysia perlu menjadikan konflik Russia-Ukraine dan kekejaman tentera rejim Israel di Palestin sebagai iktibar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata krisis itu boleh menjejaskan keamanan di rantau terbabit dan ekonomi dunia jika tidak segera diselesaikan.

"Kita bersyukur kerana negara bertuah ini masih dilimpahi nikmat keamanan dan keharmonian hasil kestabilan politik serta kerjasama seluruh Keluarga Malaysia meskipun dunia berdepan cabaran risiko geopolitik yang serius, antaranya membabitkan konflik Russia-Ukraine serta kekejaman tentera rejim Israel di Palestin.

"Isu Palestin turut saya bangkitkan dalam Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di Washington, Amerika Syarikat, baru-baru ini (dan) dalam persidangan yang dihadiri oleh Presiden Amerika Syarikat dan lapan pemimpin negara-negara ASEAN itu, Malaysia satu-satunya negara yang menegaskan agar pencerobohan di Palestin dapat ditangani dengan segera.

"Tatkala seluruh Keluarga Malaysia meraikan Aidilfitri dalam suasana aman dan meriah, terdapat saudara-saudara kita di negara-negara yang bergolak seperti Palestin, Syria, Afghanistan dan Libya yang menyambutnya dengan linangan air mata.

"Inilah pentingnya keamanan yang hanya dapat dikecapi dengan sikap saling hormat menghormati untuk hidup bersama sebagai sebuah keluarga yang kaya dengan pelbagai budaya dan kepercayaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia(MRTM) Aidilfitri 2022 di Dataran Drawbridge di sini, malam ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan MenteriPelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Ismail Sabri turut mengajak seluruh Keluarga Malaysia supaya berpegang kepada konsep Tasamuh yang menekankan tentang nilai toleransi dan kebersamaan selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

"Tasamuh atau sifat toleransi dalam bermasyarakat akan menjadikan seseorang itu lebih menghargai perbezaan di antara kita.

"Ia sewajarnya dijadikan amalan kehidupan seharian bagi mewujudkan masyarakat yang aman dan sejahtera," katanya.

Berita Harian X