Jumaat, 20 Mei 2022 | 12:30pm
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengetuai delegasi Malaysia ke Geneva, Switzerland bagi menghadiri Persidangan Kesihatan Sedunia Sesi Ke-75 (WHA75) dan Mesyuarat Lembaga Eksekutif Sesi Ke-151 (EB151), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bermula 22 hingga 30 Mei ini. - Foto NSTP
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengetuai delegasi Malaysia ke Geneva, Switzerland bagi menghadiri Persidangan Kesihatan Sedunia Sesi Ke-75 (WHA75) dan Mesyuarat Lembaga Eksekutif Sesi Ke-151 (EB151), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bermula 22 hingga 30 Mei ini. - Foto NSTP

Khairy ketuai delegasi Malaysia ke Persidangan WHO ke-75 di Geneva

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengetuai delegasi Malaysia ke Geneva, Switzerland bagi menghadiri Persidangan Kesihatan Sedunia Sesi Ke-75 (WHA75) dan Mesyuarat Lembaga Eksekutif Sesi Ke-151 (EB151), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bermula 22 hingga 30 Mei ini.

Khairy berlepas ke Geneva malam tadi yang turut disertai Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan pegawai kanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

WHA adalah badan pentadbir tertinggi WHO dan menjadi perhimpunan berkala yang dihadiri Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan dan pakar dalam bidang kesihatan.

Mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan status pelaksanaaan dasar, program, hala tuju, komitmen dan strategi baharu sektor kesihatan yang dipersetujui secara konsensus di bawah WHO.

Fungsi utama WHA adalah untuk meluluskan pelan strategik WHO dan belanjawan program selama dua tahun, menerima pakai resolusi yang menggariskan tugas WHO serta menyediakan garis panduan berkaitan kesihatan untuk negara-negara anggota.

Khairy juga hadir pada persidangan itu atas kapasiti Naib Presiden Rantau Pasifik Barat WHO selepas beliau dilantik ke jawatan itu pada Mesyuarat Jawatankuasa Rantau WHO Ke-72 di Himeiji, Jepun pada Oktober 2021.

Mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO pula untuk memastikan pelaksanaaan program dan hala tuju sektor kesihatan yang telah dipersetujui secara konsensus Persidangan Kesihatan Sedunia.

Malaysia dilantik sebagai ahli Lembaga Eksekutif WHO mewakili Rantau Pasifik Barat bagi tempoh tiga tahun bermula Mei 2021 hingga Mei 2024. Khairy dan Dr Noor Hisham adalah Ahli Lembaga Eksekutif WHO itu.

Pada Sidang Pleno Perbincangan Umum, Khairy dijangka menyampaikan kenyataan negara berhubung tema WHA75 iaitu Kesihatan untuk Keamanan, Keamanan untuk Kesihatan termasuk menyentuh isu COVID-19 dan Peralihan ke Endemisiti, Ekuiti Vaksin, Sistem Penjagaan Kesihatan Kebangsaan, Sains Tingkah Laku dan Kesihatan Digital.

Beliau juga dijangka membuat intervensi ke atas agenda perbincangan sepanjang WHA75 dan EB151 berlangsung.

Antaranya isu yang diketengahkan termasuklah kawalan dan pencegahan jangkitan, keamanan global untuk kesihatan, perubatan tradisional, dan kesediaan menghadapi influenza.

Khairy juga dijangka berucap pada Dialog Strategik mengenai Tingkah Laku Sains yang diadakan sebagai acara sampingan

WHA75, sebagai satu pengiktirafan terhadap komitmen, peranan dan pembabitan secara langsung KKM serta kerajaan dalam isu kesihatan global termasuk pengurusan pandemik COVID-19.

Jemputan itu dapat meletakkan nama Malaysia di barisan hadapan bersama negara membangun yang lain dalam aspek rawatan dan penjagaan kesihatan termasuk pendigitalan kesihatan.

Penyertaan Malaysia itu juga menjadi platform terbaik untuk Malaysia merealisasikan hasrat menerajui dan mempromosi sains tingkah laku, teknologi dan inovasi dalam menggalakkan kehidupan lebih sihat.

Selain itu, Menteri Kesihatan juga akan memenuhi jemputan khas Presiden Forum Ekonomi Dunia (WEF), Borge Brende menghadiri forum itu di Davos, Switzerland, pada 24 dan 25 Mei ini.

Di Davos, beliau akan menyertai sesi panel diskusi bersama jemputan menteri negara luar lain dan menyertai tiga panel diskusi termasukMesyuarat Pentadbir - perbincangan dasar kesihatan dan penjagaan kesihatan global; mesyuarat memperkukuh daya tahan dan pembiayaan sistem kesihatan; dan kesaksamaan pembuatan vaksin global.

Berita Harian X