Khamis, 19 Mei 2022 | 4:21pm
Foto hiasan
Foto hiasan

'Kaji larangan pamer rokok di premis jualan'

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengkaji cadangan supaya produk rokok tidak dipamerkan di premis jualan susulan cadangan pelaksanaan larangan merokok bagi individu yang dilahirkan pada 2005.

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata perkara itu antara cadangan yang dikemukakan dari segi pameran produk terbabit, selain pembungkusan produk tanpa memaparkan jenama seperti yang dilaksanakan di beberapa negara lain.

"Ini antara peraturan sedang dikaji KKM, namun jika dilaksanakan ia tidak akan ada dalam Rang Undang-Undang (RUU) tetapi dalam peraturan yang datang kemudian selepas RUU.

"Bagaimanapun, perkara ini memerlukan sesi libat urus bukan hanya dengan kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) kesihatan, malah pemilik premis kerana jika larangan pameran ini dilaksanakan, pemilik perlu membuat pengubahsuaian ke atas premis mereka.

"Ini membabitkan banyak pemegang taruh. Apabila selesai mengkaji tahap keberkesanannya di negara lain dan peralihan ke atas larangan pameran itu, jika dipersetujui kita boleh buat keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Persidangan Hari Asma Sedunia 2022 dan laman web Asthma Malaysia di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengasas Bersama Asthma Malaysia, Dr Helmy Haja Mydin.

Bulan lalu, Khairy dilaporkan berkata, draf RUU larangan merokok bagi individu dilahirkan pada 2005 sedang di peringkat akhir dan diteliti Jabatan Peguam Negara.

Januari lalu, Khairy mengumumkan cadangan itu ketika menghadiri mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Sesi Ke-150 di Geneva, Switzerland bagi menangani impak negatif tembakau terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).

Terdahulu, dalam ucapannya, Khairy berkata Fakta Kesihatan 2021 oleh KKM mendedahkan penyakit pernafasan kronik termasuk asma adalah punca kematian kedua tertinggi di hospital KKM.

"Ia sesuatu yang menyedihkan kerana sebahagian besar kematian akibat asma boleh dicegah jika pesakit didiagnosis dan memulakan rawatan yang sesuai.

"Berdasarkan kajian tempatan baru-baru ini, ramai pesakit asma di negara ini tidak mempunyai kawalan asma yang baik, iaitu lebih 50 peratus pesakit sama ada penyakit mereka sebahagiannya terkawal atau tidak terkawal.

"Fakta ini menggariskan beban asma terhadap pesakit, namun seperti semua NCD beban itu bukan ke atas pesakit semata-mata, tetapi juga kepada keluarga dan penjaga mereka serta produktiviti ekonomi dan kualiti hidup," katanya.

Khairy berkata, pihaknya akan terus mengoptimumkan penyampaian penjagaan kesihatan terbaik kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang sosial atau ekonomi, termasuk terhadap pesakit asma.

"Ia akan berlaku secara langsung dari segi lebih banyak sumber untuk pesakit dan secara tidak langsung seperti yang kita lakukan melalui RUU Kawalan Merokok Tembakau, yang sudah pasti akan memberi manfaat kepada pesakit yang menghidap penyakit pernafasan seperti asma," katanya.

Berita Harian X