Khamis, 19 Mei 2022 | 11:13am
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama

Perdana Menteri rasmi Jelajah AKM Sabah esok

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini esok.

Majlis berkenaan adalah program jelajah pertama anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di Sabah tahun ini yang akan turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Pelbagai acara menarik disusun buat pengunjung pelbagai peringkat umur sepanjang program berlangsung selama tiga hari hingga 22 Mei ini yang bermula 9 pagi.

Antaranya ialah Jualan Agro Keluarga Malaysia; Jualan Keluarga Malaysia; sukan elektronik; sukan rakyat; gotong-royong; kayuhan 'Fun Ride'; kenduri Keluarga Malaysia; serta pameran kementerian dan agensi kerajaan.

Karnival Kerjaya Jamin Kerja sempena program jelajah itu juga bakal menjadi tumpuan para pencari kerja dengan lebih 1,000 peluang pekerjaan daripada pelbagai sektor melibatkan lebih 30 majikan ternama.

Tidak ketinggalan ialah persembahan kucing mini bagi pencinta haiwan peliharaan itu, karnival permotoran dan demonstrasi masakan, cef cilik, pemprosesan lemang secara mekanikal, gubahan buah-buahan dan simulasi keselamatan

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Sabah adalah destinasi ketiga siri jelajah AKM yang diilhamkan Perdana Menteri selepas siri pertama diadakan di Johor dan diikuti Perlis, sebagai destinasi kedua.

– BERNAMA

Berita Harian X