Isnin, 16 Mei 2022 | 6:12pm
Sebahagian waris Datuk Bentara Luar Johor, Allahyarham Datuk Mohammed Salleh Perang hadir Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Larkin, petang semalam. - NSTP/MARY VICTORIA DASS.
Sebahagian waris Datuk Bentara Luar Johor, Allahyarham Datuk Mohammed Salleh Perang hadir Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Larkin, petang semalam. - NSTP/MARY VICTORIA DASS.

Tuntut harta RM300 bilion: Waris Datuk Bentara Luar tunggu keputusan mahkamah

JOHOR BAHRU: Waris Datuk Bentara Luar Johor, Allahyarham Datuk Mohammed Salleh Perang masih menunggu keputusan Mahkamah Syariah Johor Bahru berkaitan status tuntutan harta pusaka daripada kerajaan negeri yang didakwa bernilai lebih RM300 bilion.

Wakil mereka, Mohd Zaini Aris, berkata sekiranya proses tuntutan berkenaan berjaya, tuntutan selanjutnya akan dilakukan di pejabat tanah dan pejabat-pejabat agensi kerajaan negeri berkaitan lain, mengikut lunas undang-undang oleh waris yang berhak dan layak mendapat bahagian masing-masing.

Menurutnya, pihaknya memiliki dokumen sah seperti geran tanah bagi membuktikan Allahyarham masih mempunyai aset di beberapa daerah di Johor dan sehingga kini belum dipindah milik kepada waris yang berhak.

"Lambat atau cepat proses tuntutan harta pusaka keluarga Allahyarham bernilai lebih RM300 bilion daripada kerajaan negeri, kami akan setia menunggu sehingga proses selesai," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Keluarga Almarhum Dato Bentara Luar 2022 di Larkin, semalam.

Pada Disember tahun lalu, waris Allahyarham memfailkan notis permohonan untuk mendapatkan suatu perintah faraid bagi harta pusaka mereka yang didakwa bernilai lebih RM300 bilion di Mahkamah Syariah di sini.

Seramai 11 pemohon yang menjadi wakil ahli keluarga Datuk Bentara Luar Johor itu menandatangani afidavit untuk permohonan itu.

Allahyarham Mohammed Salleh adalah birokrat Johor yang memegang pelbagai jawatan penting dalam pentadbiran negeri itu dari tahun 1856 sehingga 1912, bermula sebagai Pesuruhjaya Polis Negeri, Ahli Dewan Negeri dan berakhir sebagai ahli jemaah menteri.

Tugas utama Allahyarham yang digelar Datuk Bentara Luar ialah merancang pembangunan negeri Johor dan bertanggungjawab mengurus tanah dan perladangan gambir dan lada hitam.

Allahyarham juga pernah menjawat kedudukan Ketua Jabatan Tanah dan Ukur negeri dan bertanggungjawab membuat peta negeri yang lengkap dengan tulisan jawi.

Peta itu menunjukkan semua jalan dan bandar yang akan dimajukan atau dibina di seluruh Johor. Ia juga menunjukkan bentuk muka bumi dan daerah di johor yang turut menjadi peta lengkap pertama dilukis bagi sebuah negeri di Semenanjung.

Allahyarham Datuk Mohammed Salleh Perang.
Allahyarham Datuk Mohammed Salleh Perang.

Jasa Allahyarham paling besar adalah membangunkan pusat bandar seperti Bandar Maharani (Muar) pada 1888 dan Bandar Penggaram pada 1893.

Allahyarham juga menjadi Pesuruhjaya Kerajaan bagi dua wilayah Johor itu sebelum dipanggil semula bertugas di Johor Bahru. Allahyarham dikatakan arkitek dan perancang utama pembangunan Johor.

Sementara itu, Mohd Zaini berkata, lebih 500 ahli keluarga membabitkan tujuh generasi hadir ke majlis bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim keturunan Allahyarham Datuk Bentara Luar, termasuk dari Kuala Lumpur, Kelantan, Sarawak, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka selain dari seluruh Johor.

"Di samping meluangkan masa bersama keluarga besar ini dan menikmati jamuan hari raya, kami turut tidak melepaskan peluang mengikuti penerangan peguam, Norhanisah Johar berkaitan perkembangan tuntutan harta pusaka. Kami berharap kesemua proses berjalan lancar," katanya.

Waris Allahyarham sudah menjangkau tujuh generasi membabitkan lebih 4,000 orang dengan daftar kematian waris direkodkan seramai 462 orang.

Berita Harian X