Isnin, 16 Mei 2022 | 11:20am

'Budak Kangkung' beli kek, hadiah untuk Cikgu Zamree

SLIM RIVER: Biarpun baru berusia tujuh tahun, Muhammad Afiq Aryan Rosman yang digelar 'Budak Kangkung' selepas gigih menanam sayuran itu dan memberinya kepada jiran sejak lebih setahun lalu, tahu menghargai jasa guru-gurunya.

Sempena Hari Guru hari ini, dia berbasikal sambil membawa kek, hadiah dan kad ucapan penghargaan ke rumah Guru Pendidikan Muzik Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Keledang, Mohd Zamree Mohd Zainol, 45.

Kata Muhammad Afiq Aryan, sejak mula bersekolah, dia belum pernah menyambut Hari Guru di sekolah disebabkan pandemik COVID-19, sekali gus tidak melepaskan kesempatan pada sambutan tahun ini yang jatuh pada hari cuti umum untuk mengunjungi gurunya.

"Semalam, bila emak beritahu esok (hari ini) adalah Hari Guru, saya minta emak tempah kek dan beli hadiah kepada cikgu kerana kebetulan jarak rumah saya dengan rumah Cikgu Zamree tak jauh.

"Sekolah pula akan rai Hari Guru pada Khamis ini. Insya-Allah saya akan sambut bersama guru-guru lain pula. Terima kasih Cikgu Zamree dan semua guru yang mengajar saya selama ini," katanya ketik ditemui di rumah Mohd Zamree di Taman Slim Permata, dekat sini.

Sementara itu, Mohd Zamree berkata, sepanjang bergelar pendidik sejak kira-kira 22 tahun, ini kali pertama rumahnya dikunjungi murid untuk meraikan Hari Guru.

"Memang saya terkejut kehadiran Muhammad Afiq Aryan ke rumah untuk rai Hari Guru. Ini kenangan yang tidak akan saya lupakan kerana buat julung kali, seorang murid datang ke rumah meraikan Hari Guru.

"Sebagai guru yang menjalankan tanggungjawab melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak mulia, sudah tentu gembira apabila diraikan oleh murid pada hari bersejarah ini," katanya.

Muhammad Afiq Aryan memberikan kek bersama hadiah dan kad ucapan kepada gurunya, Mohd Zamree Mohd Zainol di Taman Slim Permata, Slim River, hari ini. - NSTP/Rosman Shamsudin
Muhammad Afiq Aryan memberikan kek bersama hadiah dan kad ucapan kepada gurunya, Mohd Zamree Mohd Zainol di Taman Slim Permata, Slim River, hari ini. - NSTP/Rosman Shamsudin
Berita Harian X