Ahad, 15 Mei 2022 | 3:55pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan perutusan sempena Hari Belia Negara (HBN) 2022 bertemakan ‘Ini Masa Kita’ yang disiarkan secara langsung di RTM1, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan perutusan sempena Hari Belia Negara (HBN) 2022 bertemakan ‘Ini Masa Kita’ yang disiarkan secara langsung di RTM1, hari ini.

Tablet diagih Jun manfaat 350,000 siswa - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap peranti tablet percuma yang akan diagihkan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari golongan B40 melalui inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia mulai bulan depan, dapat memanfaat serta memudahkan mereka mengikuti aktiviti pembelajaran.

Perdana Menteri memaklumkan, inisiatif berkenaan membabitkan kos sebanyak RM450 juta dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 350,000 mahasiswa.

"Golongan ini akan mendapat manfaat serta memudahkan mereka mengikuti aktiviti pembelajaran dalam talian, melayari internet untuk tujuan penyelidikan dan sebagainya," katanya dalam perutusan sempena Hari Belia Negara (HBN) 2022 bertemakan 'Ini Masa Kita' yang disiarkan secara langsung di RTM1, hari ini.

Permohonan bagi program PerantiSiswa telah dibuka mulai 15 April lalu dengan peruntukan RM450 juta membabitkan tempahan 350,000 unit peranti.

Kira-kira 350,000 pelajar golongan B40 di IPT awam (IPTA) dan swasta (IPTS), politeknik serta kolej komuniti bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang sedang mengikuti pengajian peringkat diploma, diploma lanjutan serta ijazah sarjana muda, layak memohon inisiatif itu.

Isnin lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata, kumpulan pertama dijangka menerima tablet program PerantiSiswa Keluarga Malaysia pada minggu kedua Jun, bergantung pada proses penghantaran oleh pembida-pembida yang dipilih.

"'Roll out' (pengagihan) pertama ini kita rancang selepas 30 hari dari tarikh permohonan dan proses 'roll out' kedua pula ialah pada Ogos, iaitu 60 hari selepas proses permohonan bagi mereka yang membuat permohonan lewat dan bagi kes-kes rayuan," kata Annuar.

Katanya lagi, Kementerian Komunikasi dan Multimedia memuktamadkan bahawa peranti itu berbentuk tablet yang dilengkapapi aksesori termasuk papan kekunci dengan jenama terkenal dalam pasaran dan bukan berkualiti rendah.

Sementara itu, Ismail Sabri dalam perutusan berkenaan, berkata kerajaan turut memperkenalkan inisiatif kepada majikan menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun dengan insentif RM900 sebulan selama enam bulan.

Bagi belia yang cenderung ke arah keusahawanan pula, Perdana Menteri berkata, kerajaan menyediakan pelan pembiayaan bernilai RM150 juta melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank.

"Kerajaan menyedari ramai anak muda yang memulakan kerjaya di ibu kota berdepan isu perumahan. Justeru kerajaan akan memastikan mereka mampu memiliki kediaman sendiri selari aspirasi 1Satu Keluarga Satu Rumah', termasuk memperkasakan kediaman berkonsepkan transit atau 'Transit Oriented Developement' (TOD).

"Saya percaya semua inisiatif yang disediakan ini berupaya membantu golongan belia yang terkesan akibat pendemik COVID-19 untuk meneruskan kelangsungan hidup," katanya menambah, terdapat lebih 20 inisiatif untuk belia yang boleh dimanfaatkan secara langsung atau tidak langsung melalui Bajet 2022.

Antara inisiatif lain, katanya, adalah dalam aspek penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan, sejajar dengan perkembangan sektor perniagaan yang sekali gus akan menempatkan ekonomi pada landasan pemulihan yang tepat.

"Melalui Bajet 2022, kira-kira RM1.2 bilion diperuntukkan untuk pelbagai inisiatif bagi manfaat golongan belia termasuk Program e-Pemula iaitu sebuah Skim Transaksi Tanpa Tunai yang bertujuan meringankan beban kewangan belia dan memupuk budaya transaksi tanpa tunai dalam kalangan golongan itu.

"Ia memanfaatkan dua juta belia yang berumur 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa di peringkat diploma atau Sijil Kemahiran Malaysia 4 (SKM4) dan ke atas di IPTA serta IPTS. Alhamdulillah, inisiatif melibatkan peruntukan RM300 juta ini sudahpun dilaksanakan dan dinikmati warga belia," katanya.

Berita Harian X