Ahad, 15 Mei 2022 | 10:36am
Seorang petugas sedang sibuk melakukan persiapan akhir menjelang Perhimpunan Agung Khas UMNO yang akan berlangsung hari ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) hari ini. - Foto Bernama
Seorang petugas sedang sibuk melakukan persiapan akhir menjelang Perhimpunan Agung Khas UMNO yang akan berlangsung hari ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) hari ini. - Foto Bernama

Sokongan dua pertiga luluskan Pindaan Perlembagaan UMNO

KUALA LUMPUR: UMNO memerlukan sokongan dua pertiga daripada 2,600 perwakilan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) atau Perhimpunan Agung Khas UMNO (PAU Khas), hari ini.

Sokongan dua pertiga atau 1,733 undian itu adalah peraturan yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bagi pindaan Perlembagaan Parti mana-mana pertubuhan.

Kegagalan mendapatkan sokongan dua pertiga itu akan menyebabkan pindaan perlembagaan parti itu tidak diluluskan.

UMNO dijangka tidak menghadapi masalah untuk meluluskan pindaan itu yang mana PAU Khas ini hanya satu formaliti bagi meluluskan pindaan perlembagaan bagi memenuhi peraturan ditetapkan ROS.

Usul pindaan Perlembagaan sudah dibahaskan pada PAU, Mac lalu dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) meluluskan usul itu.

Usul itu dibawa Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada PAU 2021, Mac lalu.

Berdasarkan usul itu, pindaan menyentuh Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO, akan memberi tempoh untuk parti itu melanjutkan pemilihan parti dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) selesai diadakan.

PAU 2021 meluluskan lapan perkara atau usul yang mana pindaan Fasal 10.16 salah satu daripadanya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan UMNO mungkin tidak menghadapi masalah meluluskan pindaan itu pada PAU Khas kerana is sudah diluluskan pada PAU 2021 malah 2,400 daripada 2,600 sudah mengesahkan kehadiran dua hari lalu.

Pindaan Perlembagaan Fasal 10.16 itu turut mengekalkan peruntukan sedia ada membabitkan lanjutan masa 18 bulan bagi UMNO mengadakan pemilihan parti.

Malah Fasal 9.3 dan 9.4 Perlembagaan UMNO yang menetapkan semua jawatan MKT, sayap pusat serta kepemimpinan Bahagian termasuk sayapnya perlu dipilih setiap tiga tahun sekali, masih dikekalkan.

Untuk rekod, MCA sudah melaksanakan pindaan perlembagaan dengan melanjutkan tarikh pemilihan selepas PRU selesai dan perkara itu sudah diluluskan ROS.

UMNO akan mengemukakan cadangan tarikh mengadakan pemilihan parti ROS, Selasa ini (17 Mei).

Beberapa jam sebelum PAU Khas diadakan, beberapa kritikan terus kedengaran oleh pengkritik dan pemerhati politik.

Antara yang dibangkitkan mengenai MKT yang ada kini dikatakan hanya bertindak sebagai 'caretaker' dan tindakan mengadakan PAU Khas itu sebagai cubaan memaksa ROS mengikut kehendak UMNO.

Pindaan Perlembagaan itu selain membolehkan MKT membuat dua pilihan berhubung pemilihan parti.

Pilihan itu adalah melanjutkan 18 bulan selepas pemilihan terdahulu seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti sedia ada atau tidak lewat dalam tempoh enam bulan selepas PRUdiadakan.

Rasional pindaan itu juga kerana 70 peratus kepemimpinan Pemuda UMNO dan 65 peratus kepemimpinan Puteri akan tamat tempoh menjelang tahun depan.

Jika pindaan tidak dibuat, pemilihan perlu diadakan sebelum PRU, yang mana akan menganggu tadbir urus dan pengkaderan kepemimpinan sedia ada.

Seperti ditegaskan, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, pindaan itu memenuhi tatakelola ditetapkan ROS selain mengambil kira had tempoh bagi kepemimpinan Pemuda dan Puteri parti itu.

Tiada istilah takut atau gentar menghadapi pilihan raya dengan barisan kepemimpinan yang ada, tetapi pindaan itu juga mengelak pepecahan parti untuk berhadapan PRU, yang menjadi keutamaan parti itu ketika ini.

Berita Harian X