Sabtu, 14 Mei 2022 | 4:37pm

Siasat menyeluruh dakwaan loji sembelihan di Australia langgar prosedur halal

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Jabatan Veterinar Malaysia (JPV) termasuk pihak berkuasa Australia diarah membuat siasatan lanjut ke atas sebuah loji sembelihan atas dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal di negara berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, beliau meminta JAKIM serta agensi berkaitan membuat siasatan menyeluruh dengan segera dan telus.

Katanya, pihaknya memandang berat aduan serta dakwaan ke atas se buah loji penyembelihan halal berkenaan yang mendapat kelulusan untuk mengeksport daging halal ke Malaysia.

Beliau menegaskan, isu halal dan haram membabitkan pemakanan yang menjadi darah daging umat Islam adalah perkara yang sangat dititik berat dalam agama, bagi melindungi kepentingan awam serta memberikan keadilan kepada semua pihak.

"Kita sama sekali tidak akan bertolak ansur dengan sebarang ketidakpatuhan kepada standard dan prosedur yang ditentukan oleh JAKIM dan JPV.

"Selaku badan pensijilan Halal, JAKIM akan sentiasa menjaga amanah serta kepentingan umat Islam," katanya melalui kenyataan hari ini.

Melalui kenyataan media bersama, JAKIM dan JPV hari ini memaklumkan menggantung kelulusan diberikan kepada loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal di Australia berkuat kuasa serta-merta sehingga satu hasil siasatan menyeluruh diperoleh.

Selain itu, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan itu juga akan diberi surat tunjuk sebab.

SICHMA juga berkemungkinan dibatalkan status sebagai badan pensijilan halal yang diiktiraf JAKIM sekiranya didapati tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

Berita Harian X