Sabtu, 14 Mei 2022 | 2:36pm

Brek treler rosak dipercayai antara punca kemalangan

KUALA LUMPUR: Kegagalan sistem brek treler, laluan menuruni bukit dan had laju melebihi 90 kilometer sejam (km/j) dipercayai menjadi antara punca kemalangan meragut nyawa lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), kelmarin.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Law Teik Hua, berkata lazimnya apabila treler membawa muatan berat, kecekapan sistem brek akan berkurangan berbanding dalam keadaan tanpa muatan.

"Kita tidak pasti bagaimana keadaan sebenar sistem brek treler terbabit sebelum kejadian, sama ada baik atau sebaliknya dan kita tidak mahu mengganggu siasatan lanjut pihak berkuasa.

Prof Madya Dr Law Teik Hua.
Prof Madya Dr Law Teik Hua.

"Bagaimanapun, ada kemungkinan sistem brek gagal berfungsi dengan baik dan pemandu tidak dapat mengawal kenderaan sebelum melanggar kenderaan dinaiki mangsa.

"Impak pelanggaran awal menyebabkan treler itu menyeret kereta mangsa ke hadapan sehingga merempuh belakang sebuah lagi treler dan impak ini turut menyebabkan berlakunya kebakaran.

"Sukar untuk mengukur kelajuan sebenar treler terbabit ketika pelanggaran berlaku, selain ditambah keadaan laluan yang menuruni bukit ketika itu.

"Melihat impak kemalangan sebegini, kebiasaannya kelajuan melebihi 90 kilometer sejam," katanya kepada BH, semalam.

Ditanya sama ada lokasi kejadian di kawasan jalan diselenggara turut menyumbang kepada kejadian, Teik Hua tidak mahu menimbulkan spekulasi atau mengganggu siasatan.

Berdasarkan pemerhatian, katanya, prosedur operasi standard (SOP) dilihat dipatuhi dengan meletakkan kon, lampu kecemasan dan papan makluman dengan pantulan cahaya sebagai peringatan kepada pengguna dalam maklumkan ada kerja penyelenggaraan.

"Justeru, tidak mungkin pengguna laluan terbabit tidak melihat tanda peringatan," katanya.

Beliau berkata, keletihan juga mungkin antara faktor kerana nahas berlaku pada awal pagi dan pemandu treler terbabit mungkin bertugas lebih awal.

Keadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan di KM246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Arah Utara. - NSTP/L Manimaran
Keadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan di KM246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Arah Utara. - NSTP/L Manimaran

Teik Hua berkata, setiap syarikat pemilik kenderaan berat dalam industri logistik wajar memastikan kenderaan atau jentera mereka sentiasa diperiksa serta diselenggara sekerap mungkin.

"Jangan hanya bila ada nahas baru nak diperiksa, kalau tidak hanya buat sambil lewa dan lebih memikirkan keuntungan.

"Pihak pengurusan lebuh raya perlu memastikan laluan pengguna selamat, lakukan penyelenggaraan dengan kerap sekiranya jalan rosak dan turap laluan yang terlalu lama tidak ditukar permukaanya supaya tahap cengkaman tayar berkesan pada permukaan jalan," katanya.

Dalam kemalangan di KM245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Kuala Kangsar itu, lima rakan serumah yang juga pelajar USAS, terkorban.

Mereka ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, yang memandu kereta; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; penumpang hadapan, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19; Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dan Iqbal Hasnun Halimi, 23, yang duduk di bahagian penumpang belakang.

Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku apabila treler membawa muatan jubin dari arah selatan memandu di lorong kanan disebabkan lorong kiri laluan dari KM246 hingga KM244.4 ditutup bagi penyelenggaraan jalan.

Lima individu maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di Kuala Kangsar. - Foto Bomba
Lima individu maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di Kuala Kangsar. - Foto Bomba

Lima individu maut dalam kemalangan di KM246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di Kuala Kangsar. - Foto Bomba
Lima individu maut dalam kemalangan di KM246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di Kuala Kangsar. - Foto Bomba

Berita Harian X