Sabtu, 14 Mei 2022 | 2:21pm
Muhammad Farhan memeriksa stok aksesori telefon dikedainya di Temerloh, Pahang. - NSTP/Asyraf Hamzah
Muhammad Farhan memeriksa stok aksesori telefon dikedainya di Temerloh, Pahang. - NSTP/Asyraf Hamzah

Doktor pelatih mangsa buli bangkit bina kehidupan

KUALA LUMPUR: Benar kata orang di sebalik kesusahan, pasti ada jalan penyelesaian dan hikmah tersendiri.

Ia diakui bekas doktor pelatih, Muhammad Farhan Mohamed yang pernah hidup dalam kegelapan akibat menjadi mangsa buli sehingga pernah beberapa kali cuba membunuh diri, namun berjaya menjumpai cahaya di hujung terowong.

Sejak ditarik lesen perubatannya akibat didiagnosis mengalami bipolar tahap dua sebelum diberhentikan kerana gagal menamatkan latihan dalam tempoh ditetapkan pada 2015, dia menguatkan semangat dan nekad memulakan kehidupan baharu sehingga berjaya mengusahakan perniagaan sendiri.

"Walaupun cita-cita mahu menjadi doktor, namun Allah tak tunjuk doktor itu sebagai kerjaya. Saya terus mencari, walaupun halangan tinggi, saya tetap teruskan.

"Jika saya berputus asa, saya menyusahkan ibu bapa sebab saya anak sulung dan menjadi harapan tinggi keluarga kerana mahu anak mereka menjadi doktor.

"Apabila sudah jadi macam ini, sehingga saya sanggup cuba membunuh diri, saya melihat ini bukan lagi laluan kerjaya saya," katanya kepada BH.

Biarpun kecewa, tetapi peristiwa itu menjadi titik tolak kepada perubahan hidup yang membawanya meneroka bidang perniagaan sehingga kini bergelar usahawan berjaya.

Malah, Muhammad Farhan kini memiliki empat cawangan kedai menjual aksesori telefon di Pahang dan bakal membuka cawangan kelimanya dalam tempoh terdekat, selain mempunyai kira-kira 20 kakitangan yang bernaung di bawahnya.

"Saya terfikir untuk berniaga ketika pergi ke pasar malam. Ketika itu, saya melihat seorang lelaki menjual aksesori telefon, namun apabila ditanya perincian mengenai produk dijualnya, individu itu tidak tahu.

"Di situ, terdetik di fikiran saya bagaimana orang yang tidak tahu mengenai produk dijualnya boleh berniaga. Saya mula menceburi bidang berkenaan dengan bermodalkan RM300. Saya mula berniaga di pasar malam, kaki lima dan akhirnya berjaya membuka kedai pertama," katanya yang kini sudah berumah tangga dan memiliki dua cahaya mata.

Berita berkaitan:

  • Pengakuan bekas doktor pelatih dibuli
  • Kisah perit bekas doktor pelatih
  • Berita Harian X