Jumaat, 13 Mei 2022 | 8:46pm
Suasana di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar siang tadi ketika polis membawa jenazah untuk ujian DNA dan pengecaman - Foto NSTP/L Manimaran
Suasana di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar siang tadi ketika polis membawa jenazah untuk ujian DNA dan pengecaman - Foto NSTP/L Manimaran

Identiti semua 5 pelajar USAS mangsa nahas disahkan

KUALA KANGSAR: Identiti baki tiga lagi pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, tengah malam kelmarin disahkan melalui semakan rekod pergigian sebentar tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, berkata tiga mayat terakhir yang melalui bedah siasat serta proses pengecaman pada hari ini disahkan sebagai Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22 dan Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19.

Katanya, identiti ketiga-tiga mereka disahkan berdasar kepada perbandingan dengan rekod pergigian dari klinik dan institut pergigian lain.

Beliau berkata, Muhammad Nasrun Aidol dari Kuala Kubu Bharu, Selangor adalah pemandu Honda City; Iqbal Hasnun dari Senai, Johor adalah penumpang belakang kanan, manakala Muhamad Nabil Haikal dari Batu Caves, Selangor adalah penumpang tengah belakang.

"Mayat dijangka diserahkan kepada waris selepas selesai proses pengecaman sebentar lagi (hari ini)," katanya ketika dihubungi malam ini.

Petang tadi, Omar Bakhtiar dilaporkan berkata proses pengecaman tiga mayat itu yang dilakukan di Hospital Taiping akan beralih kepada kaedah ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sekiranya pengecaman melalui rekod pergigian masih gagal mengesahkan identiti mereka.

Semalam, identiti dua daripada lima mayat penuntut USAS itu iaitu Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21 dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, disahkan yang mana Ahmad Naim Najmi adalah penumpang hadapan manakala Ahmad Akmal adalah penumpang belakang kiri Honda City.

Justeru, mayat Muhammad Nasrun Aidol, Iqbal Hasnun dan Muhamad Nabil Haikal dijangka turut disolatkan di Masjid Raja Permaisuri Bainun di USAS, malam ini sebelum diserahkan kepada waris masing-masing untuk dikebumikan.

Berita Harian X