Jumaat, 13 Mei 2022 | 12:24pm

Jurutera teruja Duta Ukraine ke Malaysia lawat kebun anggur

SLIM RIVER: Seorang jurutera teruja selepas anggur yang ditanam dengan menggunakan benih dari negara Ukraine bukan sahaja mendapat perhatian malah dilawati oleh Pejabat Kedutaan Ukraine di Malaysia, hari ini, dekat sini.

Lawatan tidak rasmi berkenaan diketuai oleh Duta Ukraine di Malaysia, Olexander Nechytaylo bersama kakitangannya, Yevhenia Shynkarenko di tapak tanaman anggur yang diusahakan oleh beliau di tepi Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur jam 9 pagi tadi.

Hishamuddin Othman, 57, berkata pihak pejabat kedutaan Ukraine mengetahui beliau mengusahakan tanaman anggur yang berasal dari negara terbabit secara fertigasi sejak awal tahun lalu iaitu melalui media sosial.

Olexander Nechytaylo semasa melawat tanaman anggur secara fertigasi di Muallim Hortigard and Nursery. - NSTP/Rosman Shamsudin
Olexander Nechytaylo semasa melawat tanaman anggur secara fertigasi di Muallim Hortigard and Nursery. - NSTP/Rosman Shamsudin

Beliau kemudiannya dihubungi oleh pihak kedutaan berkenaan pada Januari lalu yang berhasrat melawat tanaman anggur yang ditanam di dalam rumah pelindung hujan (RPH).

"Ketika itu, pokok anggur baru sahaja selesai mengeluarkan hasil dan awal bulan ini sekali lagi saya dihubungi pihak kedutaan Ukraine yang menyatakan hasrat untuk melawat tanaman anggur.

"Kebetulan buah anggur yang dihasilkan kali ini berbuah lebat daripada musim pertama menyebabkan saya bersetuju menerima kunjungan pihak kedutaan terbabit," katanya ketika ditemui di Muallim Hortigard and Nursery, dekat sini.

Duta Ukraine dan kakitangannya meluangkan kira-kira dua jam melawat dan merasai buah anggur berkenaan dan berasa bangga melihat anggur yang berasal dari negara berkenaan sebenarnya boleh hidup subur di negara ini.

Olexander Nechytaylo dan kakitangannya, Yevhenia Shynkarenko menjamu selera di bawah pepohon anggur semasa melawat tanaman anggur secara fertigasi di Muallim Hortigard and Nursery. - NSTP/Rosman Shamsudin

Hishamuddin berkata, sepanjang lawatan berkenaan pihak kedutaan Ukraine terpegun melihat pokok anggur yang berasal dari negara berkenaan ternyata mampu dan boleh hidup subur di negara ini.

"Kami sempat bertukar-tukar pendapat mengenai tanaman anggur terutama bagaimana saya mengaplikasi teknologi pertanian tempatan dalam menanam dan menghasilkan buah anggur yang lebat serta mampu tahan dengan keadaan cuaca dan suhu di negara ini.

"Saya memaklumkan walaupun pokok anggur yang ditanam ini, benihnya berasal dari Ukraine tetapi baja yang digunakan adalah mengikut formula saya sendiri dengan menggunakan campuran bahan tempatan," katanya.

Beliau berkata, pada masa hadapan beliau memang berhasrat mengunjungi negara berkenaan terutama ketika negara itu sudah aman bagi mempelajari secara lebih mendalam teknologi pertanian yang digunakan bagi tanaman anggur.

Olexander Nechytaylo (kanan) sedang memetik sendiri buah anggur. - NSTP/Rosman Shamsudin
Olexander Nechytaylo (kanan) sedang memetik sendiri buah anggur. - NSTP/Rosman Shamsudin

Beliau yang bercita-cita mempunyai ladang anggur sendiri berkata pada masa depan beliau berhasrat memiliki ladang anggur bagi membuktikan bahawa negara ini juga mampu menjadi pengeluar anggur yang bermutu tinggi setanding dengan negara-negara beriklim sejuk.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan usaha seorang jurutera menanam anggur ternyata berbaloi selepas hasil kedua tanaman terbabit meningkat kepada 800 kilogram berbanding hanya 500 kilogram sebelum itu.

Peningkatan hasil tanaman anggur berasal dari Ukraine itu susulan penggunaan baja dibuat mengikut formula sendiri dengan menggunakan campuran bahan tempatan.

Duta Ukraine di Malaysia, Olexander Nechytaylo ( kanan) sedang memetik sendiri buah anggur semasa melawat tanaman anggur secara fertigasi yang ditanam di dalam rumah pelindung hujan (RPH) oleh jurutera, Hishamuddin Othman (kiri) di Muallim Hortigard and Nursery. - NSTP/Rosman Shamsudin

Berita Harian X