X
Jumaat, 13 Mei 2022 | 10:54am
Bakal jemaah haji yang berkemampuan disaran membayar keseluruhan kos haji secara sukarela dan tidak mengambil subsidi. - Foto hiasan
Bakal jemaah haji yang berkemampuan disaran membayar keseluruhan kos haji secara sukarela dan tidak mengambil subsidi. - Foto hiasan

'Bayar penuhlah kos haji jika mampu'

SHAH ALAM: Bakal jemaah haji yang berkemampuan disaran membayar keseluruhan kos haji secara sukarela dan tidak mengambil subsidi.

Langkah itu akan dapat membantu meningkatkan dana Tabung Haji yang kemudian bakal diterjemahkan kepada agihan dividen lebih tinggi kepada pendeposit.

Ketua Penerangan Parti Bangsa Malaysia, Zakaria Abdul Hamid, berkata pihaknya menyarankan agar jemaah dari golongan T20 atau M40 yang berkemampuan dapat melaksanakan ibadah haji tanpa sebarang subsidi.

"Usaha kerajaan melaksanakan program subsidi bersasar untuk jemaah haji memang wajar. Akibat peningkatan kos, kenaikan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi, kos bagi seorang jemaah muassasah dijangka meningkat hingga RM25,000.

"Kami menyokong penuh subsidi yang diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada golongan B40 yang benar-benar memerlukannya, namun, bagi golangan bukan B40, tanggungan sebanyak RM14,000 bagi setiap jemaah akan memberikan tekanan kewangan kepada kerajaan," katanya dalam kenyataan.

Media sebelum ini melaporkan, Lembaga TH memperkenalkan dua kategori kadar bayaran bagi jemaah haji muassasah yang kali pertama mengerjakan haji bermula tahun ini.

Bayaran RM10,980 perlu dibayar oleh jemaah daripada golongan B40 iaitu peningkatan RM1,000 manakala RM12,980 dikenakan bagi jemaah bukan B40, meningkat RM3,000.

Berita Harian X