Khamis, 12 Mei 2022 | 5:13pm

PM ucap takziah kepada keluarga lima penuntut USAS maut nahas

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada keluarga lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam nahas tengah malam tadi.

Perdana Menteri yang sedih dengan kejadian itu mendoakan keluarga mangsa tabah menghadapi dugaan.

"Sedih menerima berita memilukan tentang pemergian lima pelajar USAS Kuala Kangsar, Perak. Pelajar itu terkorban dalam nahas di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Ipoh, tengah malam tadi.

"Takziah saya ucapkan kepada keluarga mangsa dan berharap agar tabah harungi dugaan ini.

"Didoakan juga agar roh mangsa dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama-sama roh orang yang beriman dan beramal soleh," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Nahas yang berlaku tengah malam tadi membabitkan lapan mangsa, dengan lima daripadanya yang menaiki kereta maut di tempat kejadian, manakala dua pemandu treler dan seorang kelindan terselamat.

Lima mangsa disahkan maut setelah rentung oleh pegawai perubatan hospital.

Lima penuntut maut itu dikenal pasti Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.

Berita Harian X