Khamis, 12 Mei 2022 | 3:41pm

Kerajaan Perak tanggung kos pengurusan jenazah

IPOH: Kerajaan negeri akan menanggung semua keperluan pengurusan jenazah lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan dua treler di Kilometer (KM) 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Terowong Menora Kuala Kangsar, tengah malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohammed Daud, berkata kerajaan negeri menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga kelima-lima mangsa yang maut dalam nahas itu.

"Kita mendoakan segala pengurusan dan pengebumian jenazah semua mangsa lima pelajar berjalan dengan sebaiknya.

"Segala yang membabitkan pengebumian jenazah termasuk untuk keluarga membabitkan penginapan, makan dan minum mereka di sini akan diuruskan sepenuhnya oleh Kerajaan negeri Perak dan pihak USAS," katanya ditemui hadir melawat keluarga mangsa di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar hari ini.

Ahli Keluarga Iqbal Hasnun Halimi yang terlibat dalam kemalangan di KM246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Arah Utara yang hadir do Jabatan forensik Hospital Kuala Kangsar. - Foto NSTP/ L Manimaran
Ahli Keluarga Iqbal Hasnun Halimi yang terlibat dalam kemalangan di KM246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Arah Utara yang hadir do Jabatan forensik Hospital Kuala Kangsar. - Foto NSTP/ L Manimaran

Ahmad Saidi berkata, pihaknya akan menunggu keputusan ahli keluarga berhubung pengurusan jenazah kelima-lima mangsa.

"Apabila semua keluarga mangsa sampai kita akan menerima pendapat daripada keluarga sendiri berkaitan pengurusan sama ada hendak diuruskan di sini atau dibawa pulang.

"Namun setakat ini, kerajaan negeri dan juga USAS berharap jenazah dapat diuruskan di sini sebelum proses membawa pulang jenazah untuk pengebumian berhampiran keluarga masing-masing," katanya sambil menambah proses membawa pulang jenazah termasuk kos van juga ditanggung oleh kerajaan negeri dan USAS.

Disamping itu, Ahmad Saidi berkata, beliau sempat berbual dengan ahli keluarga mangsa sejurus tiba di Unit Forensik. Semua keluarga dalam keadaan sugul dan tetapi sangat tenang menerima ketentuan ini.

Difahamkan, beberapa ahli keluarga antara lima mangsa maut dalam insiden masih dalam perjalanan dan belum tiba di unit forensik.

Terdahulu, nahas tiga kenderaan mengakibatkan lima individu rentung di Kilometer (KM) 246, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini, tengah malam tadi, dipercayai berlaku di kawasan penyelenggaraan jalan.

Semua mangsa yang rentung adalah berusia antara 19 hingga 23 tahun dan penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (Usas), Kuala Kangsar.

Difahamkan, mangsa yang rentung dikenal pasti sebagai Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19; dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.

Ahli Keluarga Iqbal Hasnun Halimi yang terlibat dalam kemalangan di KM246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Arah Utara yang hadir do Jabatan forensik Hospital Kuala Kangsar. - Foto NSTP/ L Manimaran
Ahli Keluarga Iqbal Hasnun Halimi yang terlibat dalam kemalangan di KM246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Arah Utara yang hadir do Jabatan forensik Hospital Kuala Kangsar. - Foto NSTP/ L Manimaran
Berita Harian X