Khamis, 12 Mei 2022 | 11:35am

Kes buli doktor pelatih: Senarai ahli pasukan siasatan diumum esok

PUTRAJAYA: Senarai ahli jawatankuasa petugas bebas bagi menyiasat kes buli kalangan doktor pelatih akan diumumkan esok.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau tidak akan mempengerusikan jawatankuasa berkenaan.

"Esok saya akan umumkan (ahli jawatankuasa), ia bersekali dengan terma dan rujukan," katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2022, di sini hari ini.

Sebelum ini, Khairy mengumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan menubuhkan pasukan petugas bebas bagi menyiasat kematian seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang, baru-baru ini.

Beliau berkata, jawatankuasa itu turut bertindak untuk meneliti dakwaan budaya buli yang berlaku antara doktor dan doktor pelatih di hospital awam.

Mengenai tempoh siasatan, Khairy berkata, siasatan biasanya akan selesai dalam beberapa minggu kerana ia membabitkan pertuduhan berat, iaitu budaya kerja tidak profesional atau buli.

"Ia akan babitkan sesi temu bual pengadu dan pakar yang dituduh, jadi lebih baik beri sedikit masa untuk pasukan betugas dan unit integriti yang biasanya kita laksanakan tindakan tatatertib.

"Namun kita akan tengok pada kedua-dua hasil siasatan ini dulu sebelum sebarang tindakan dapat diambil," katanya.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin, berkata beliau sudah menyerahkan nama lima doktor di HPP yang didakwa pembuli kepada KKM untuk tindakan lanjut.

Katanya lagi, lima doktor itu bagaimanapun tidak mempunyai kaitan dengan kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di HPP kerana kes terbabit masih dalam siasatan.

Pada 17 April lalu, seorang doktor pelatih lelaki berusia 25 tahun ditemukan maut, dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di bangunan berhampiran di Jalan Datuk Keramat, Georgetown.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang, Dr Maarof Sudin mengesahkan mangsa adalah Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri pada 4 April lalu di HPP

Pada 6 Mei lalu, Khairy dilaporkan berkata, KKM akan menubuhkan pasukan petugas bebas bagi menyiasat kematian doktor pelatih itu.

Berita Harian X