Rabu, 11 Mei 2022 | 11:29am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

3 hari jangkitan COVID-19 melepasi angka 2,000

PUTRAJAYA: Kes baharu COVID-19 di negara ini kekal melepasi angka 2,000 untuk tempoh tiga hari berturut-turut, dengan semalam 2,605 lagi jangkitan direkodkan.

Menerusi laman sesawang COVIDNOW, kes baharu itu dikesan membabitkan 2,601 penularan tempatan dengan empat lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Perkembangan itu sekali gus menjadikan sehingga kini jumlah individu dijangkiti virus berkenaan meningkat kepada 4,463,740 kes.

Setakat semalam, negara mempunyai 22,953 kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 dan daripada jumlah itu, sebanyak 94.2 peratus atau 21,612 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Selain itu 1,250 kes sedang mendapatkan rawatan di hospital, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan alat bantuan pernafasan (38 kes), ICU dan tidak memerlukan alat bantuan pernafasan (29 kes) serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) (24 kes).

Selangor menjadi negeri tunggal mencatatkan kes baharu empat angka iaitu 1,126 kes, diikuti Kuala Lumpur dengan 327 kes, Negeri Sembilan (195 kes), Pulau Pinang (174 kes), Melaka (127 kes), Johor (126 kes) dan masing-masing 120 kes di Kedah dan Perak.

Selain itu, Sarawak merekodkan 74 kes, diikuti Pahang (46 kes), Kelantan (43 kes), Terengganu (40 kes), Sabah (39 kes), Putrajaya (25 kes), Labuan (15 kes) dan Perlis (lapan kes).

Semalam juga 2,014 kes sembuh dilaporkan, sekali gus menjadikan jumlah individu yang pulih sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 ialah 4,405,197 kes.

Dalam pada itu, enam kes kematian dilaporkan semalam termasuk tiga membabitkan kematian di luar fasiliti kesihatan (BID). Ia menjadikan jumlah angka korban kini meningkat kepada 35,590 kes.

Berita Harian X