Selasa, 10 Mei 2022 | 4:00pm
Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai, pada sidang media, hari ini. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai, pada sidang media, hari ini. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

Laksanakan ujian sikap saring pelajar mahu ikuti jurusan perubatan - MMA

KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengesyorkan supaya Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan ujian sikap terhadap pelajar yang mahu mengikuti pengajian dalam jurusan perubatan.

Presidennya, Dr Koh Kar Chai, berkata cadangan itu bukan perkara baharu, sebaliknya sudah lama dilontarkan kepada kementerian, namun berdepan kekangan termasuk membabitkan pertukaran tampuk pentadbiran kerajaan dan pegawai atasan dalam KKM.

Justeru, beliau sekali lagi mengulangi syor itu kepada KKM agar melaksanakan ujian sikap yang mengandungi soalan menyentuh soal kefahaman terhadap skop tugas sebagai pegawai perubatan, bagi memilih pelajar yang betul-betul layak melanjutkan pelajaran dalam jurusan perubatan.

"Perlu ada proses saringan bagi menentukan sama ada bakal pelajar itu sesuai mengambil pengajian berkenaan (perubatan). Mereka juga perlu mengambil peperiksaan 'Unified Examination' kerana bukan semua mempunyai tahap sama.

"MMA sudah lama mengemukakan cadangan itu kepada kementerian tetapi ia belum dilaksanakan.

"Tiada perkembangan lanjut berhubung syor itu kerana berlaku pertukaran kerajaan banyak kali dan pertukaran membabitkan pegawai atasan di KKM. Kali ini, kita akan berusaha lebih kuat lagi," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Selain itu, Dr Kar Chai meminta supaya saluran aduan sedia ada dimanfaatkan sepenuhnya pada peringkat hospital, antaranya sebagai pendekatan untuk menangani isu buli dan masalah lain, bukan saja membabitkan doktor pelatih tetapi juga kakitangan kesihatan yang lain.

Beliau mengaku masih ada hospital di negara ini yang tidak memanfaatkan sistem aduan seperti Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KKM.

"Saluran itu memang efektif tetapi bukan di semua hospital, bergantung juga pada pengarah hospital, jika pengarah berkenaan mengiktiraf masalah yang berbangkit itu wujud.

"Ada juga dalam kalangan mereka (pengarah) yang tutup mata. Itu sebab KKM dalam mesyuarat, semalam, mereka peka dengan masalah terbabit dan turun padang dengan memberi peringatan kepada hospital.

"Ia bagi mengingatkan mereka bahawa terdapat sistem untuk membuat aduan dan laporan. Ia perlu dimanfaatkan supaya doktor junior atau mana-mana doktor sekalipun yang mengalami tekanan berkaitan kerja, dapat membawa masalah mereka melalui saluran yang disediakan," katanya

Meskipun pihak hospital menyediakan unit kaunseling untuk kakitangan kesihatan, Dr Kar Chai berkata, masih ada doktor yang tidak memanfaatkan kemudahan itu.

Beliau berkata, ada dalam kalangan doktor junior yang enggan mendapatkan khidmat kaunseling kerana takut dengan stigma daripada rakan kerja.

"Memang ada unit psikologi dan kaunseling. Setiap doktor yang merasa tekanan mental, boleh pergi ke unit itu. Saya tidak pasti nama betulnya apa. Doktor memang ada libat urus untuk mengetahui masalah mereka. Jika doktor itu tiada masalah mental atau tekanan, unit itu akan sahkan.

"Namun jika ada doktor yang mengalami tekanan mental, mereka boleh terus pergi ke unit itu. Bagaimanapun apabila membabitkan doktor junior, mereka takut untuk pergi ke unit itu untuk mendapatkan kaunseling kerana akan berdepan stigma daripada orang sekeliling.

"Ditambah lagi apabila tiba masa penilaian untuk KPI (petunjuk prestasi utama), ada pula yang cakap-cakap doktor terbabit telah pergi ke unit 'sakit jiwa'. Itu yang mereka bimbangkan," katanya.

Berita Harian X