Selasa, 10 Mei 2022 | 3:10pm
Sejumlah 138 daripada 1,145 kes HFMD dikesan di Pahang dikenal pasti berlaku hasil penularan di taska, tadika dan pra sekolah.
Sejumlah 138 daripada 1,145 kes HFMD dikesan di Pahang dikenal pasti berlaku hasil penularan di taska, tadika dan pra sekolah.

Pahang rekod 1,145 kes HFMD

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) merekodkan 1,145 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di seluruh Pahang sepanjang tempoh antara Januari hingga 7 Mei lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan mendadak enam kali ganda, memandangkan hanya 190 kes HFMD direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Mengulas lanjut, katanya, daripada jumlah itu 1,093 kes HFMD atau 95.4 peratus direkodkan membabitkan kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah.

"Kes kedua tertinggi ialah kumpulan usia tujuh hingga 12 tahun iaitu sebanyak 43 kes (3.8 peratus), diikuti sembilan kes atau 0.8 peratus membabitkan individu berusia lebih 12 tahun.

"Daripada 1,145 kes, 138 kes atau 12.1 peratus dikenal pasti berlaku hasil penularan di taska, tadika dan pra sekolah, manakala 1,007 kes atau 87.9 peratus berlaku secara sporadik," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, penyakit HFMD adalah penyakit berjangkit disebabkan enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus71 (EV71).

Katanya, penyakit itu boleh menjangkiti semua peringkat umur terutama kanak-kanak berusia lima tahun dan ke bawah.

"Virus ini boleh merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit.

"Kebiasaan jangkitan adalah ringan (mild) dengan gejala demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

"Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh hingga 10 hari, bagaimanapun jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, JKN Pahang menasihati orang ramai mengambil langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko dijangkiti.

Katanya, antara langkah itu ialah membasuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak.

"Selain itu, sentiasa mengekalkan kebersihan di rumah dan persekitaran, menutup mulut dan hidung ketika batuk dan bersin, serta jangan berkongsi pakaian, tuala, perkakas, makanan dan minuman serta alat mainan anak.

"Sebaiknya, hantar kanak-kanak ke klinik atau hospital terdekat jika mereka mempunyai tanda-tanda atau gejala jangkitan dan ibu bapa juga dinasihat tidak membawa anak-anak bergejala ke tempat awam yang ramai seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah dan lain-lain," katanya.

Dalam pada itu, JKN Pahang ingin memberi penekanan semula kepada pengusaha dan penjaga di tadika, tabika dan prasekolah untuk sentiasa memastikan kebersihan premis terutama peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak.

"Penting dilakukan saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD.

"Kanak-kanak dengan gejala dinasihat tidak hadir ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada rakan dan amalkan mencuci tangan secara betul, disinfeksi atau nyahkuman permukaan tercemar," katanya.

Berita Harian X