Isnin, 9 Mei 2022 | 10:04am
Prof Dr Ruzairi Abdul Rahim.
Prof Dr Ruzairi Abdul Rahim.

Ruzairi dilantik naib canselor baharu UTHM

PUTRAJAYA: Dekan Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Ruzairi Abdul Rahim dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan, pengalaman luas Ruzairi diyakini mampu melonjakkan UTHM sebagai universiti teknopreneur dunia atau 'Global Technopreneur University' menjelang 2030.

"Beliau dilihat mampu meneraju UTHM sebagai salah sebuah universiti awam dalam rangkaian 'Malaysian Technical University Network. (MTUN) berdasarkan pengalaman pentadbiran yang luas dan reputasi akademik yang dihormati.

"Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Prof Dr Wahid Razzaly atas jasa bakti beliau sebagai Naib Canselor UTHM yang lalu," katanya.

Ruzairi, 55, mempunyai kelulusan ijazah sarjana muda kejuruteraan dalam jurusan 'Electronic System & Control Engineering' dari Sheffield City Polytechnic, UK dan ijazah kedoktoran dalam bidang 'Electronic Instrumentation Engineering' dari The Sheffield Hallam University, UK.

Beliau sebelum ini juga pernah menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTHM untuk tempoh tiga tahun dari 2016 hingga 2019.

Berita Harian X