Sabtu, 7 Mei 2022 | 10:29pm
Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah ditemui dalam sebuah temu bual khas di Wisma Putra, hari ini. Foto BERNAMA
Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah ditemui dalam sebuah temu bual khas di Wisma Putra, hari ini. Foto BERNAMA

Malaysia gesa adakan hubungan tidak rasmi dengan NUG, NUCC

PUTRAJAYA: Malaysia akan terus terbabit dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar termasuk Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) dan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC) dalam usaha menyelesaikan kebuntuan politik di negara itu selari dengan Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata dalam situasi semasa terdapat keperluan untuk terlibat dengan semua pihak berkepentingan sebagai tanda sokongan moral dan solidariti.

"Kami tidak memihak kepada mana-mana pihak. Kami tidak halang ASEAN untuk terbabit dengan Naypyidaw, untuk terbabit tak ada masalah. Babitkan semua pemegang taruh dan itu yang Malaysia lakukan," katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Putra di sini, hari ini.

5PC ialah pertama, menghentikan serta-merta keganasan di Myanmar dan semua pihak mengambil langkah untuk bertenang; kedua, dialog konstruktif antara semua pihak yang berkenaan akan dimulakan untuk mencari jalan penyelesaian damai demi kepentingan rakyat; ketiga, duta khas Pengerusi ASEAN akan memudahkan perantaraan proses dialog dengan bantuan Ketua Setiausaha ASEAN; keempat, ASEAN akan memberikan bantuan kemanusiaan melalui Pusat AHA; dan kelima, duta khas dan delegasi akan melawat Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak yang berkenaan.

Saifuddin berkata, beliau akan mengulangi kembali cadangan Malaysia untuk terbabit secara tidak rasmi dengan NUG dan NUCC ketika mesyuarat menteri luar ASEAN pada 11 Mei, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat di Washington pada 12 dan 13 Mei.

Beliau turut akan mencadangkan kepada ASEAN untuk mencari jalan bagi memperkasa Utusan Khas ASEAN ke Myanmar dan bagaimana 5PC dapat dilaksanakan sebaik-baiknya.

"Mereka berusaha sedaya upaya, (tetapi) pihak Myanmar banyak kekangan dan syarat, kita mesti cari jalan. Pasti ada jalan macam mana kita nak bantu utusan khas intuk jalankan tugas-tugas mereka," katanya.

Ditanya sama ada cadangan ASEAN terbabit dengan semua NUG dan NUCC akan mendorong junta meminggirkan diri mereka, beliau berkata, junta telah mengasingkan diri sejak setahun lalu sejak 5PC diterima pakai.

"Mereka dilihat tidak begitu bekerjasama sejak setahun lalu. Hampir tiada kemajuan walaupun kedua-dua utusan khas (bekas utusan khas, Menteri Luar II Brunei Erywan Yusof dan utusan khas sekarang, Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn) telah berusaha sedaya upaya untuk membolehkan sekurang-kurangnya atau sebahagian daripada konsensus terlaksana," katanya.

Beliau berkata, walaupun satu daripada 5PC jelas menggesa agar keganasan ditamatkan, statistik menunjukkan sebaliknya.

Saifuddin berkata, sebanyak 10,786 pertempuran bersenjata dan serangan terhadap orang awam dilaporkan dari 1 Februari 2021 hingga 15 April lalu.

Dalam tempoh sama, seramai 2,146 orang terbunuh manakala 13,282 orang, termasuk Ahli Parlimen, wartawan dan orang awam ditahan.

Mengenai cadangan Malaysia untuk melipatgandakan bantuan kemanusiaan di Myanmar, beliau berkata, ia harus merangkumi pembabitan Pusat AHA dan organisasi antarabangsa yang diselia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau berkata, pertubuhan antarabangsa mempunyai pengalaman memberikan bantuan kemanusiaan di kawasan dilanda peperangan dan konflik, manakala pengalaman Pusat AHA lebih kepada menghulurkan bantuan kemanusiaan ketika bencana seperti banjir dan gempa bumi.

Katanya, pembabitan Pusat AHA dan organisasi antarabangsa diselia PBB akan memastikan bantuan kemanusiaan dapat diagihkan dengan lebih berkesan kepada kumpulan sasaran.

"Di samping itu, kita mahu negara ASEAN ada ownership kepada bantuan kemanusiaan ini supaya secara sukarela tawar NGO masing-masing untuk bantu," katanya.

Mercy Malaysia, kata Saifuddin, satu-satunya badan bukan kerajaan (NGO) asing yang masih boleh beroperasi di Myanmar, oleh itu Malaysia akan mencadangkan ia diiktiraf sebagai satu daripada NGO dari ASEAN.– BERNAMA

Berita Harian X