Sabtu, 7 Mei 2022 | 5:32pm
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Koh Kar Chai.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Koh Kar Chai.

KKM diminta teliti keseluruhan sistem latihan sektor kesihatan

PUTRAJAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berharap penubuhan pasukan petugas bebas oleh Kementerian Kesihatan (KKM) turut meneliti keseluruhan sistem latihan dan punca tekanan dialami pekerja sektor kesihatan yang lain dan bukannya terhadap doktor pelatih semata-mata.

Presidennya, Dr Koh Kar Chai menyifatkan penubuhan pasukan petugas khas oleh KKM bagi menyiasat kematian doktor pelatih baru-baru ini serta kes buli dalam sektor kesihatan adalah satu langkah yang terbaik.

"MMA sudah bekerja dengan KKM dalam tempoh yang lama dan melihat terdapat keluhan dalam kalangan kakitangan penjagaan sektor kesihatan.

"Kita tidak boleh menafikan bahawa beberapa kes buli tidak dapat diselesaikan dengan sebaiknya namun dengan adanya badan bebas ini nanti ia sedikit sebanyak akan membantu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan pihaknya akan menubuhkan pasukan petugas bebas, bagi menyiasat laporan kematian seorang pegawai perubatan pelatih dan dakwaan budaya buli dalam fasiliti kerajaan.

Penubuhan pasukan petugas khas itu diadakan berikutan kejadian seorang doktor pelatih yang ditempatkan di Hospital Pulau Pinang, awal bulan lalu dipercayai terjatuh dari bangunan dan meninggal dunia pada 17 April lalu.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Ma'arof Sudin mengesahkan mangsa adalah Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri di negeri itu, pada 4 April lalu.

Berita Harian X