Khamis, 5 Mei 2022 | 3:13pm

'Semua universiti awam perlu teliti keselamatan fasiliti'

KOTA BHARU: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengarahkan semua universiti awam melihat semula aspek keselamatan fasiliti masing-masing terutama bangunan berkaitan dengan pelajar.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata beliau sendiri mengarahkan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Husaini Omar supaya berhubung dengan universiti awam bagi menyampaikan hasrat berkenaan.

Beliau berkata, setiap pengurusan universiti perlu memastikan keselamatan premis dan kali ini pihaknya akan melihat secara menyeluruh berkenaan aspek itu bagi mengelak kejadian tidak diingini menimpa pelajar.

"Saya sudah arahkan Hussaini berhubung dengan (pihak) universiti sendiri untuk pastikan keselamatan di bangunan terutama berkaitan dengan pelajar.

"Kita perlu melihat model yang ada sekarang, apa cadangan penambahbaikan, itu yang saya minta dan Universiti Sains Malaysia (USM) sudah mulakan.

"Aspek ini juga termasuk kesihatan dan keselamatan untuk penuntut kategori orang kurang upaya (OKU) dan kita minta universiti lihat semula bagaimana bangunan itu boleh mesra OKU," katanya selepas melawat keluarga Allahyarham Lukman Hakim Mat Rani, 22, di Kampung Penambang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Dr Mohamad Zabri Yusoff, Pengerusi Lembaga Pengarah USM, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

Lukman Hakim meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat lapan Desasiswa Tekun, USM Kampus Induk pada 25 April lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, penuntut jurusan pendidikan itu dipercayai tergelincir ketika mahu mengambil pakaiannya yang terjatuh daripada ampaian.

Noraini berkata, proses penambahbaikan institusi pengajian tinggi memang sentiasa dibuat, namun ia bergantung kepada peruntukan diluluskan Kementerian Kewangan (MoF).

Sementara itu, pada pertemuan itu, Noraini turut menyampaikan Skim Perlindungan Takaful Keluarga Berkelompok Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memberi pengecualian pembayaran balik pinjaman pendidikan Allahyarham kepada ibunya, Wan Rubiah Wan Abdullah, selain menerima manfaat khairat kematian sebanyak RM1,500.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak mensensasikan dan membuat sebarang spekulasi terhadap kematian mahasiswa itu kerana siasatan pihak berkuasa sudah mengesahkan ia sebagai kemalangan.

"Keluarga arwah juga menerima takdir ini dengan reda dan jangan ada yang menimbulkan sebarang spekulasi kerana bimbang akan menyentuh perasaan ramai pihak," katanya.

 Noraini (kanan) menyerahkan Skim Perlindungan Takaful Keluarga Berkelompok Peminjam PTPTN kepada Wan Rubiah di rumah mereka di Kampung Penambang. NSTP/SITI ROHANA IDRIS
Noraini (kanan) menyerahkan Skim Perlindungan Takaful Keluarga Berkelompok Peminjam PTPTN kepada Wan Rubiah di rumah mereka di Kampung Penambang. NSTP/SITI ROHANA IDRIS
Berita Harian X