Khamis, 5 Mei 2022 | 2:16pm
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. - Foto NSTP
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. - Foto NSTP

Tubuh jawatankuasa khas siasat kematian doktor pelatih

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang menggesa Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menubuhkan jawatankuasa siasatan khas berhubung kematian seorang pegawai perubatan siswazah yang bertugas di Hospital Pulau Pinang, di sini, baru-baru ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata jawatankuasa siasatan khas itu penting bagi mengenal pasti punca dan mengelak kejadian serupa berulang pada masa depan, khususnya membabitkan doktor pelatih di seluruh negara.

"Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak berkuasa berkaitan perlu segera ke hadapan untuk menjelaskan apa yang berlaku.

"Pada masa sama, mereka perlu merombak keseluruhan sistem pengurusan. Jika perlu, terutama membabitkan waktu bekerja doktor di institusi perubatan ketika ini," katanya hari ini.

Kon Yeow berkata, KKM tidak seharusnya berdiam diri dan membiarkan perkara itu berlarutan.

"Strategi dan penyelesaian perlu disegerakan," katanya.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) semalam menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kematian doktor pelatih berkenaan.

Pengarahnya, Dr Maarof Sudin, dilaporkan berkata pihaknya dan Hospital Pulau Pinang akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

Penggubal undang-undang di negeri ini juga menggesa KKM dan JKN menjelaskan kematian doktor pelatih terbabit yang baru ditempatkan di hospital berkenaan pada 4 April lalu.

Doktor pelatih itu dilihat terjatuh dari sebuah bangunan di Jalan Datuk Keramat, pada 17 April lalu.

Pada masa kini, siasatan polis masih mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong dilaporkan berkata tidak menolak kemungkinan kes berkenaan akan diklasifikasikan semula jika bukti baharu ditemui.

Berita Harian X