Rabu, 4 Mei 2022 | 2:28pm
Norlela (kiri) dan Sim (kanan).
Norlela (kiri) dan Sim (kanan).

KKM perlu jelaskan kematian doktor pelatih di HPP

GEORGETOWN: Kementerian Kesihatan (KKM) serta Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) perlu memberi penjelasan berhubung kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di Hospital Pulau Pinang (HPP) baru-baru ini.

Doktor pelatih yang baru ditempatkan di HPP tiga minggu lalu itu dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan di Jalan Datuk Keramat di sini, dengan polis masih menyiasat kejadian itu sebagai kematian mengejut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Dr Norlela Ariffin berkata, pihak berkuasa kesihatan perlu menyiasat secara menyeluruh kejadian itu memandangkan insiden berkenaan adalah yang kedua membabitkan seorang doktor pelatih dalam tempoh kurang dua tahun.

Norlela berkata, kementerian dan JKN perlu memberi penjelasan mengenai kes dan situasi dihadapi doktor di hospital negeri ini.

Katanya, beliau sendiri pernah membangkitkan isu waktu kerja tidak berperikemanusiaan yang tidak logik dihadapi doktor pelatih berdasarkan pengalaman keluarganya sendiri, yang tidak pernah berlaku dalam kalangan pekerja sektor lain.

"Namun maklum balas yang saya dapat daripada pihak berkuasa kesihatan termasuk ahli politik adalah, semua doktor perlu melalui upacara ini.

"Ia seperti budaya yang diterima dalam profesion perubatan," katanya melalui Facebook.

Norlela berkata, dia dimaklumkan isu beban kerja berlebihan berlaku disebabkan kekurangan tenaga kerja.

Bagaimanapun beliau menegaskan, ramai graduan perubatan perlu menunggu lama untuk mendapatkan pekerjaan, malah ada yang tidak mendapatnya.

"Adalah tidak logik untuk KKM membenarkan perkara ini berterusan memandangkan doktor perlu membuat keputusan 'hidup mati' apabila merawat pesakit dalam situasi yang mereka hadapi," katanya.

Sementara itu, Ahli parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata ia bukan masanya untuk 'merahsiakan' mengenai kejadian itu.

"Media sebelum ini melaporkan tentang tahap tekanan tinggi dan 'buli' membabitkan doktor muda. KKM mesti menyiasat perkara ini dengan segera.

"Kami memahami tekanan dihadapi golongan perubatan, tetapi kementerian mesti mempunyai strategi pengurusan lebih baik.

"Jangan biarkan hospital kita menjadi tempat di mana semua doktor muda gugur. Doktor menjaga kita dan sebagai ganti, kita juga mesti menjaga mereka," katanya melalui Facebook.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, yang mengesahkan kematian pelatih itu, tidak menolak kemungkinan kes diklasifikasikan semula sekiranya ada bukti terkini.

Berita Harian X