Isnin, 2 Mei 2022 | 4:31pm

Sambut raya di terminal bas

KUALA LUMPUR: "Perancangan awal mahu balik sehari sebelum raya, namun bila Hari Raya (Aidilfitri) diumum disambut hari ini, saya terpaksa menyambutnya di terminal bas," kata Nurbasra Azizan, 19.

Nurbasra yang juga seorang penuntut di sebuah kolej swasta di Kelana Jaya, Petaling Jaya berkata, dia bersama abang serta sepupunya membeli tiket pulang ke kampung mereka pada hari yang sama iaitu hari ini.

"Kami bercadang pulang ke Alor Setar, Kedah, untuk beraya sehari sebelum Aidilfitri dengan membeli tiket bas pada pertengahan Ramadan lalu pada harga RM49 setiap seorang.

"Namun, apabila diumumkan hari raya disambut hari ini, semuanya menjadi kelam-kabut. Malah, kami turut ketinggalan menaiki bas ke Alor Setar jam 10.30 pagi tadi kerana salah menaiki tren Transit Aliran Ringan (LRT)," katanya ketika ditemui di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini, hari ini.

Orang ramai menaiki bas untuk pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri di Terminal Bersepadu Selatan hari ini. - Foto NSTP/Owee Ah Chun
Orang ramai menaiki bas untuk pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri di Terminal Bersepadu Selatan hari ini. - Foto NSTP/Owee Ah Chun

Katanya, mereka kemudian membeli tiket bas baharu ke Alor Setar berharga RM50 setiap seorang yang berlepas dari terminal berkenaan jam 3.30 petang ini.

"Sejujurnya ada rasa sedih kerana sambutan hari raya saya terpaksa di terminal bas. Namun, saya bersyukur kerana berpeluang juga balik kampung.

"Ibu saya juga sudah tidak sabar menanti kedatangan kami di kampung halaman memandangkan sudah dua tahun kita tidak dapat balik ke kampung untuk berhari raya," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung TBS, Adam Abu Bakar, 56, dia agak kecewa kerana tiket bas untuk pulang ke kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan sudah habis.

"Saya memang merancang untuk balik ke kampung untuk beraya bersama keluarga sebelum mencari kerja di Singapura selepas berhenti kerja sebagai pembantu kedai makan di Ampang.

"Namun, saya kecewa apabila dimaklumkan oleh jurujual di kaunter bahawa tiket bas ke Kota Bharu sudah habis," katanya.

Katanya, sebelum ini, dia tidak membuat sebarang tempahan tiket kerana tiada masa untuk berbuat kerja akibat kesibukan bekerja.

"Selalunya memang saya membeli tiket bas di terminal ini (TBS) kerana terbiasa dengan keadaan di sini. Apabila dimaklumkan tiket bas (ke Kota Bharu) sudah habis, saya jadi buntu.

"Saya masih mempertimbangkan sama ada mahu menaiki kereta api untuk pulang ke Kota Bharu atau mencari alternatif lain. Buat sementara ini, saya mungkin akan terus berada di sini (TBS) untuk menunggu jika ada tiket bas lagi," katanya.

Tinjauan di TBS sejak jam 2 petang tadi mendapati ramai orang berada di terminal berkenaan untuk membeli tiket dan menunggu ketibaan bas ke destinasi masing-masing.

Terdahulu, media melaporkan umat Islam di negara ini menyambut Aidilfitri pada hari ini.

Pengumuman itu disampaikan oleh Penyimpan Majlis Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, malam tadi.

Orang ramai masih menggunakan pengangkutan awam untuk balik kampung pada hari raya pertama hari inidi TBS - Foto NSTP/Owee Ah Chun.
Orang ramai masih menggunakan pengangkutan awam untuk balik kampung pada hari raya pertama hari inidi TBS - Foto NSTP/Owee Ah Chun.
Berita Harian X