Ahad, 1 Mei 2022 | 9:12pm
Suasana balik kampung di KLIA2 masih terkawal walaupun pengguna memilih saat akhir untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. - Foto Samadi Ahmad
Suasana balik kampung di KLIA2 masih terkawal walaupun pengguna memilih saat akhir untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. - Foto Samadi Ahmad

'Sempat balik beraya di kampung'

SEPANG: Keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) masih lagi terkawal biarpun dipenuhi orang ramai yang memilih saat akhir untuk pulang beraya ke kampung halaman masing-masing.

Selepas dua tahun merayakan lebaran dalam suasana pandemik COVID-19, rata-rata orang ramai dilihat tidak melepaskan peluang untuk beraya bersama keluarga tercinta di kampung.

Peniaga, Muhd Adib Chek Khairul Anuar, 25, dari Batu Pahat, Johor berkata, dia bersama lapan ahli keluarga akan menyambut Aidilfitri di rumah abang, Muhd Syahid di Kuching, Sarawak.

Beliau berkata, mereka menempah tiket sebulan lebih awal dan sengaja memilih saat akhir untuk bertolak bagi merasakan kemeriahan suasana balik kampung.

"Kami sekeluarga akan menghabiskan cuti selama seminggu sambil melancong bersama keluarga.

"Peluang kelonggaran prosedur operasi standard (SOP)diberikan kerajaan ini akan digunakan sepenuhnya selepas dua tahun tidak dapat melancong disebabkan pandemik COVID-19," katanya.

Pekerja swasta, Zainon Baharom, 51, dari Damansara Damai berkata, dia memilih untuk menaiki kapal terbang untuk pulang ke Felcra Kok di Langkawi, Kedah selepas tiket feri habis dijual.

Beliau berkata, sebelum ini pulang ke Langkawi menaiki kereta dan mengambil feri di Kuala Perlis, namun kali ini memilih menggunakan kapal terbang.

"Kami beli tiket seminggu selepas Ramadan untuk enam orang pergi dan balik... kosnya lebih murah daripada menaiki kenderaan sendiri.

"Raya kali ini, kami nak gunakan sepenuhnya untuk bersama keluarga di kampung, menikmati juadah raya bersama adik-beradik dan sanak saudara," katanya.

Berita Harian X