Sabtu, 30 April 2022 | 3:53pm

Cuti lama, Aidilfitri lebih meriah di kampung

KUALA LUMPUR: Sambutan Aidilfitri pada tahun ini memberi makna yang besar kepada umat Islam terutama bagi mereka yang berada di perantauan dan dapat pulang ke kampung halaman berikutan cuti panjang sehingga seminggu.

Tinjauan BH di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Bandar Tasik Selatan di sini mendapati suasana terminal begitu sibuk dengan penumpang menunggu untuk menaiki bas dua hari menjelang Aidilfitri.

Kerani syarikat swasta, Azrul Hamimee Abu Hassan, 48, berkata walaupun diberi cuti hanya seminggu, itu sudah cukup baginya beraya bersama keluarga di kampung.

"Perasaan sangat gembira bila dapat balik beraya selepas dua tahun di Kuala Lumpur, walaupun hanya balik seminggu dan akan bertolak ke Kuala Lumpur pada Ahad ini, itu sudah cukup dapat bertemu mata bersama ahli keluarga di kampung," katanya.

"Pengangkutan awam memang menjadi pilihan setiap kali pulang ke kampung sebab memudahkan dan melancarkan urusan untuk bergerak. Bertolak dari kediaman di Sri Kembangan ke TBS juga menaiki grab bersama isteri dan lima orang anak lebih senang," katanya.

Penuntut tahun satu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Sabrina Zulkepli, 19 berkata perjalanannya dari Melaka ke TBS begitu lancar dan selamat sampai.

"Selalunya ibu akan menjemput saya di kampus, oleh kerana kesesakan jalan raya orang ramai pulang ke kampung, bagi mengelakkan kesesakan ke Melaka dan pulang ke Kuala Lumpur, saya bercadang untuk naik bas.

"Saya bersyukur kerana selamat sampai ke Kuala Lumpur, rumah keluarga dan akan pulang beraya di Pahang bersama keluarga menaiki kenderaan sendiri selama seminggu dan merancang untuk balik ke kampus pada Ahad ini," katanya.

Ibu tunggal, Normah Ali, 73, berkata ini adalah kali pertama menaiki bas untuk pulang beraya kerana sebelum ini beliau sekeluarga menggunakan kenderaan sendiri untuk pulang ke kampung di Segamat, Johor.

"Sebelum ini, anak memandu kereta untuk bawa kami sekeluarga balik kampung tetapi kali ini dia kerja, jadi tak dapat balik,"

"Nasib baik ada lagi tiket bas untuk balik kampung bersama seorang anak dan lima cucu yang lain, walaupun dapat 30 hari bulan, asal dapat balik jumpa keluarga yang dah lama tak jumpa sejak dua tahun lalu," katanya.

Suri rumah, Maisarah Khairul Jamil, 31 bersama suami dan anaknya mahu ke Perak berkata masa berada di kampung amatlah terhad untuk raya kali ini.

"Kami akan berada di kampung selama lima hari sahaja kerana suami perlu bertugas selepas itu. Tapi balik beraya kali ini memang rasa lain sangat, tak sabar nak berjumpa semua keluarga walau sekejap sebab sebelum ini raya di Kuala Lumpur sunyi," katanya yang menaiki bas jam 1 petang.

Terminal Bersepadu Selatan (TBS) yang mula sesak apabila warga kota meninggalkan Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung sambut Hari Raya - Foto NSTP/Owee Ah Chun
Terminal Bersepadu Selatan (TBS) yang mula sesak apabila warga kota meninggalkan Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung sambut Hari Raya - Foto NSTP/Owee Ah Chun
Berita Harian X