Jumaat, 29 April 2022 | 6:18pm
Pegawai JKM Melaka (kiri) ketika menemubual Acap dan adik-beradiknya yang menjual kerepek di Limbongan, malam tadi. - Foto JKM Melaka.
Pegawai JKM Melaka (kiri) ketika menemubual Acap dan adik-beradiknya yang menjual kerepek di Limbongan, malam tadi. - Foto JKM Melaka.

Berkelana jual kerepek ke Melaka demi baju raya

MELAKA: Seorang ibu sanggup berkelana dari Johor Bahru ke negeri ini bersama-sama tujuh anaknya termasuk bayi perempuan berusia tiga bulan untuk menjaja kerepek demi mengumpul wang bagi membeli baju raya.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Burhanuddin Bachik berkata, maklumat itu diperoleh selepas pegawainya menemubual wanita terbabit di sebuah restoran makanan segera dekat Limbongan di sini, jam 9 malam tadi.

Beliau berkata, lawatan dan siasatan dijalankan oleh Ketua Unit Kebajikan Produktif, Azlinda Aziz bersama dua pegawai Pelindung JKM, Siti Aishah Mohd Noor dan Norhayati Ahmad bagi mengesan jika berlaku eksploitasi kanak-kanak dan sebarang pelanggaran mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (AKK 2001).

Ia susulan tular video seorang kanak-kanak dikenali 'Acap' tertidur di kaki lima sebuah restoran makanan segera di Limbongan di sini, sambil memegang sebakul kerepek, semalam.

"Ketika ditemui kanak-kanak berusia 11 tahun itu ada bersama ibu dan adik-beradik lain serta ibu saudaranya.

"Hasil temubual wanita itu yang juga peniaga kuih mendakwa sudah 10 hari berada di Melaka bagi mencari wang tambahan untuk membeli baju baharu untuk anak-anaknya kerana jualan di Johor Bahru tidak mendapat sambutan.

"Sepanjang di Melaka mereka tinggal di dalam kereta dan hotel bajet sebelum dibantu seorang individu selepas video berkenaan tular dan menginap di sebuah hotel di Banda Hilir," katanya dihubungi di sini.

Burhanuddin berkata, wanita itu mendakwa ketika kejadian dia terlalu letih bekerja dari pagi hingga malam dan terpaksa meminta bantuan anaknya untuk menjual kerepek.

"Si ibu memberi alasan tiada rehat cukup dan sedar gelagat anaknya diperhatikan seorang individu namun tidak mengetahui video itu tular.

"Daripada pemerhatian pegawai JKM, kanak-kanak terbabit gembira dan bahagia bersama ibu dan wanita itu sudah memohon maaf di atas kejadian," katanya.

Mengulas lanjut Burnanuddin berkata, hasil perbincangan bersama pegawainya kes itu akan dirujuk ke JKM Johor Bahru bagi tujuan pemantauan dan bantuan kewangan.

"Kita juga menasihati wanita itu menyerahkan semula bayinya kepada ibu kandung dan tidak menggunakan kanak-kanak untuk menjaja di jalanan kerana boleh memudaratkan kesihatan, keselamatan dan kebajikan mereka.

"Kanak-kanak sepatutnya diletakkan di dalam jagaan pengasuh sewaktu ibu kandung berniaga," katanya sambil memaklumkan keluarga terbabit sudah kembali ke Johor Bahru tengah hari tadi.

Burhanuddin juga berkata, wanita itu mendakwa sudah berkahwin, namun suaminya menghilangkan diri sejak tiga tahun lalu dan gagal dikesan hingga kini.

"Dia bersama enam anak kandung berusia berusia antara empat hingga 12 tahun serta anak angkat berusia tiga bulan kini tinggal bersama bapanya di Kampung Sungai Perling Baru, Johor.

"Difahamkan lima anaknya bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sutera, Johor Bahru dan seorang di prasekolah dan wanita itu sudah memohon cuti seminggu untuk mereka," katanya.

Sebelum ini satu klip berdurasi 39 saat dimuat naik pengguna TikTok menggunakan akaun @danielalii, menunjukkan Acap tertidur di kaki lima sebuah restoran makanan segera di Limbongan di sini, sambil memegang sebakul kerepek.

Berita Harian X