Jumaat, 29 April 2022 | 10:52am
Ismail (dua dari kiri) melihat model projek perumahan PPAM Kasturi pada Majlis Menandatangani Perjanjian Dan Mudahcara antara KPKT dengan Putrajaya Homes Sdn Bhd - Foto NSTP/Samadi Ahmad.
Ismail (dua dari kiri) melihat model projek perumahan PPAM Kasturi pada Majlis Menandatangani Perjanjian Dan Mudahcara antara KPKT dengan Putrajaya Homes Sdn Bhd - Foto NSTP/Samadi Ahmad.

Pemetaan Harga Kediaman mudahkan rakyat

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkenalkan inisiatif Pemetaan Harga Kediaman mengikut lokaliti sebagai satu panduan kepada rakyat serta pemaju dalam memastikan penyediaan rumah mampu milik di negara ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Ismail Abd Muttalib berkata, inisiatif itu juga membolehkan rakyat mengenalpasti harga kediaman yang ditawarkan oleh pemaju mengikut lokaliti di seluruh negara.

Menurutnya, melalui insiatif itu, rakyat mempunyai panduan harga yang disifatkan sebagai mampu milik dalam satu-satu kawasan dan pemaju pula dapat menyediakan projek yang boleh dijual kepada pembeli.

Katanya, harga mampu milik di Putrajaya tidak boleh disamakan dengan mampu milik di Gua Musang, Kelantan kerana mempunyai perbezaan antara negeri, malah harga di Ipoh, Perak belum tentu mampu milik bagi mereka di Gerik, Perak.

"Kita perlu melakukan keadilan dan mungkin beberapa pembetulan bagi meletakkan yang hak pada tempatnya kerana rakyat memerlukan panduan harga yang disifatkan sebagai mampu milik dalam satu-satu kawasan," katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Dan Mudahcara projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Kasturi antara KPKT dengan Putrajaya Homes Sdn Bhd di sini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KLCC (Holdings) Sdn Bhd,Md Shah Mahmood dan Pengerusi Putrajaya Holdings Sdn Bhd, Datuk Kamil Khalid Ariff.

Projek PPAM Kasturi menyediakan 404 unit rumah membabitkan RM15.5 juta jumlah Dana Mudahcara dari kerajaan dan dijangka siap pada Jun 2022.

PPAM Kasturi adalah projek keempat Putrajaya Homes di pusat pentadbiran kerajaan di sini selepas PPAM Seruling, PPAM Ketumbar dan PPAM Palma menjadikan keseluruhan PPAM dibangunkan Putrajaya Homes di sini berjumlah 2,529 unit.

Ismail berkata, pemetaan harga kediaman sedang dimuktamadkan sebagai usaha kerajaan untuk dimanfaatkan rakyat dan akan dimaklumkan tidak lama lagi.

Menurutnya, melalui inisiatif PPAM ini KPKT telah menyiapkan 171 projek dengan 25,267 unit keseluruhannya manakala 61 projek atau 13,845 unit dalam pembinaan.

Katanya, selain itu terdapat 43 buah projek dengan 18,292 buah unit sedang dalam perancangan yang akan menjadikan keseluruhan projek PPAM yang telah diluluskan adalah 275 buah dengan 57,404 unit apabila siap kesemuanya kelak.

"Pembangunan projek PPAM ini dilaksanakan melalui kerjasama antara kerajaan dengan pemaju perumahan swasta di atas tanah persendirian atau tanah kerajaan," katanya.

Ismail (tengah ) melihat model projek perumahan PPAM Kasturi pada Majlis Menandatangani Perjanjian Dan Mudahcara antara KPKT dengan Putrajaya Homes Sdn Bhd semalam.Foto/NSTP Samadi Ahmad.

Berita Harian X