Khamis, 28 April 2022 | 9:06pm
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan

'Tak boleh potong gaji, elaun pekerja BDR'

TAPAH: Dasar gaji negara tidak membenarkan pemotongan bagi gaji atau elaun pekerja yang bekerja dari rumah (BDR), kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata, pemotongan gaji tidak boleh dilakukan dan tidak sepatutnya berlaku.

"Hari ini tiada halangan, majikan boleh minta mereka masuk ke pejabat, maknanya tidak boleh mana-mana pihak kerja dari rumah tanpa persetujuan majikan.

"Jika majikan membenarkan BDR, maka tidak patutlah mereka potong gaji. Kalau majikan tidak setuju dengan pekerja bekerja dari rumah, mereka boleh meminta mereka datang ke pejabat. Jangan kita bagi kebenaran, kita pula potong gaji," katanya selepas majlis berbuka puasa di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang melihat kewajaran majikan memberikan gaji lebih kecil termasuk memotong elaun perjalanan jika pekerja memilih untuk BDR.

Pengarah Eksekutifnya, Shamsuddin Bardan dilaporkan berkata, ada pekerja yang bersetuju dengan langkah berkenaan susulan bekerja dari rumah sudah menjimatkan kos pergi dan balik dari tempat kerja.– BERNAMA

Berita Harian X