Rabu, 27 April 2022 | 9:30pm
Abdul Rahman (dua dari kiri) menyerahkan juadah berbuka puasa kepada kakitangan NSTP pada majlis Sumbangan Berbuka Puasa ANGKASA di Balai Berita NSTP hari ini. Yang turut hadir, Ahmad Zaini (tiga dari kiri) dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit (kiri) - Foto NSTP/Rohanis Shukri
Abdul Rahman (dua dari kiri) menyerahkan juadah berbuka puasa kepada kakitangan NSTP pada majlis Sumbangan Berbuka Puasa ANGKASA di Balai Berita NSTP hari ini. Yang turut hadir, Ahmad Zaini (tiga dari kiri) dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit (kiri) - Foto NSTP/Rohanis Shukri

ANGKASA bantu 70,000 keluarga terkesan pandemik, banjir

KUALA LUMPUR: Lebih 70,000 keluarga yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan ditimpa bencana banjir menerima bantuan daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) membabitkan peruntukkan lebih RM3 juta sejak 2020.

Timbalan Presiden ANGKASA, Prof Madya Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, berkata bantuan itu sebagai memenuhi tanggungjawab sosial pihaknya, selain tanda prihatin seperti termaktub dalam prinsip ketujuh koperasi iaitu menitik beratkan kebajikan masyarakat.

"Sejumlah 70,000 keluarga dibantu termasuk yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga dalam misi bantuan pasca banjir tahun ini.

"Antara bantuan disalurkan ialah barangan keperluan asas menerusi Projek Barang Asas 100 (BA100) yang disediakan di rangkaian outlet runcit ANGKASA di seluruh negara di bawah program COOPCARE.

"Kita turut menyediakan khidmat sukarelawan serta bantuan perubatan bergantung kepada jenis bantuan yang diperlukan oleh golongan yang terkesan.

"Walaupun sebagai sebuah entiti koperasi, ANGKASA tidak semata-mata memfokuskan perniagaan, sebaliknya memfokuskan pada khidmat kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program sumbangan juadah berbuka puasa kepada petugas media Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) sempena Program COOPCARE Sepakat Ramadan ANGKASA di Balai Berita, di sini, hari ini.

Pada program itu, sebanyak 300 pek juadah berbuka puasa disampaikan Abdul Rahman kepada Pengurus Besar, Sokongan Jualan dan Pemasaran NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Wilayah Persekutuan, Abdul Razak Hussain dan Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat ANGKASA, Halim Ibrahim.

Abdul Rahman berkata, sumbangan juadah berbuka itu sebagai menyantuni petugas media yang perlu bertugas dari awal pagi sehingga ke waktu berbuka puasa.

"Atas perkara itu, ANGKASA mengambil inisiatif untuk menghargai pengorbanan masa dan tugas mereka.

"Walaupun sumbangan tidak sebesar mana, tetapi ia memberi makna besar kepada hubungan baik yang terjalin di antara ANGKASA dengan pihak media," katanya.

Berita Harian X