Isnin, 25 April 2022 | 12:06pm
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan sebahagian pelajar melakukan simbolik untuk anti rokok pada Majlis Pelancaran GEGAR-18 (Generation End Game Anti Rokok-18) di SMK Bandar Seri Putra, Bangi. - Foto Aizuddin Saad
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan sebahagian pelajar melakukan simbolik untuk anti rokok pada Majlis Pelancaran GEGAR-18 (Generation End Game Anti Rokok-18) di SMK Bandar Seri Putra, Bangi. - Foto Aizuddin Saad

Draf RUU larangan merokok di peringkat akhir

BANGI: Rang Undang-Undang (RUU) larangan merokok bagi individu dilahirkan pada 2005 kini di peringkat akhir dan sedang diteliti Jabatan Peguam Negara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ketika memperincikan perkembangan itu berkata draf RUU berkenaan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh terdekat, dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan pemegang taruh berkaitan.

Katanya, antara pendirian dan pandangan pemegang taruh yang diambil kira dalam usaha merangka RUU itu termasuk daripada penggiat industri produk tembakau negara.

"Saya akan teruskan sesi libat urus dengan mereka, untuk beri kefahaman apa peruntukan dan peraturan baharu yang kita akan perkenalkan.

"RUU ini sudah di peringkat akhir, sedang disemak oleh Jabatan Peguam Negara, sebelum ia dimuktamadkan," katanya pada sidang media, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin.

Khairy berkata, kawalan terhadap butiran pengiklanan yang memaparkan produk tembakau atau nikotin akan digunakan sebagai mekanisme membendung pengaruh tabiat merokok.

Selain itu, jelasnya, kementerian mengemukakan cadangan kepada Jabatan Perbendaharaan untuk memperuntukkan pengurangan kadar cukai atau duti terhadap produk pengganti nikotin.

"Ketika ini duti bagi produk itu (pengganti nikotin seperti gula getah dan pelekat pada badan) terlalu tinggi iaitu sekitar 15 peratus, justeru kita minta Jabatan Perbendaharaan untuk kurangkan atau hapuskan terus," katanya.

Berita Harian X