Isnin, 25 April 2022 | 10:45am

Isytihar perang pasaran gelap, rokok seludup

BANGI: Kerajaan bertekad untuk mengisytiharkan perang terhadap pasaran gelap dan rokok seludup bagi membasmi kesan tembakau secara menyeluruh.

Mengikrarkan janji sedemikian, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ia akan dilaksanakan sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) larangan merokok bagi individu yang dilahirkan pada 2005 diluluskan.

Meskipun matlamat itu disifatkan sebagai populis oleh segelintir pihak, beliau berkata ia akan tetap dirintis untuk memastikan natijah daripada ketagihan nikotin tidak menjejaskan generasi pelapis negara.

"Jangan sebab masalah penguatkuasaan, kita tiada cita-cita lebih tinggi, percayalah jika dapat luluskan RUU ini KKM (Kementerian Kesihatan) akan bekerjasama dengan semua agensi penguat kuasa.

"Kita akan isytihar perang pasaran gelap dan rokok seludup bagi membasmi produk ini secara menyeluruh," katanya ketika melancarkan Generasi Penamat Anti Rokok 18 (GEGAR-18), di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin.

Khairy menegaskan tabiat pengambilan nikotin bukan sekadar mengundang kerugian pada perokok, sebaliknya ia mencetuskan kesan rantaian terhadap pelbagai aspek seperti kesihatan awam, ekonomi dan produktiviti di tempat kerja.

Mengikut perangkaan semasa, beliau mengunjurkan bahawa kerajaan bakal berdepan kerugian mencecah RM273 bilion rentetan kematian pramatang yang berpunca daripada komplikasi kesan merokok, selain ketidakhadiran bekerja dan merencatkan produktiviti.

"Justeru, ini bukan berkait pilihan saya saja seperti tanggapan segelintir pihak, tetapi sebenarnya ada kesan kepada kesihatan orang lain, ekonomi negara, produktiviti negara.

"Sebab itu, KKM pandang serius mengenai perkara ini dan fikir mekanisme bagaimana nak pastikan generasi pelapis negara tidak kenal rokok, 'vape' atau produk tembakau.

"Memang betul Malaysia antara pasaran gelap paling besar di dunia dalam konteks rokok seludup, menjangkau lebih 60 peratus, tetapi KKM tidak boleh 'berpeluk tubuh'.

"Justeru, antara langkah yang kita akan ambil ialah untuk kurangkan produk nikotin dan kawal ketat penjualan vape supaya kawal selia seperti ini bakal menjadikan produk ini tidak menarik di mata orang ramai," katanya.

Khairy Jamaluddin. - Foto fail NSTP
Khairy Jamaluddin. - Foto fail NSTP
Khairy Jamaluddin (kanan) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad (kiri) melancarkan Program Perkhidmatan Berhenti Merokok mQuit di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 22 April lalu. - Foto BERNAMA
Khairy Jamaluddin (kanan) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad (kiri) melancarkan Program Perkhidmatan Berhenti Merokok mQuit di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 22 April lalu. - Foto BERNAMA
Berita Harian X