Sabtu, 23 April 2022 | 5:14pm

'Bella kenalkan kawan-kawan dia'

SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluangkan kira-kira 20 minit menyantuni remaja Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella di sebuah pusat perlindungan kanak-kanak milik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini, hari ini.

Beliau berkata, keadaan Bella semakin sihat dan sudah banyak berubah sepanjang ditempatkan di pusat jagaan berkenaan sejak tahun lalu.

"Bella dibawa ke sini sejak Julai 2021 dan daripada pemerhatian saya tadi, Bella dalam keadaan normal dan tiada lagi gangguan emosi seperti mana ketika dia mula-mula masuk.

"Malah kecederaannya pun sudah pulih sedia kala. Saya nampak beliau sudah mempunyai keyakinan diri yang tinggi, melukis bersama rakan-rakan yang lain.

"Sewaktu saya melawat ke tiga asrama, dia yang tunjukkan kepada saya asrama berkenaan dan menunjukkan dia ada keyakinan yang tinggi, malah dia turut memperkenalkan saya dengan rakan-rakan dia yang lain," katanya.

Ismail Sabri berkata, terdapat banyak perubahan yang ketara pada diri Bella dan beliau berterima kasih kepada JKM dan pihak yang terbabit menjaga remaja berkenaan.

"Bella dijaga dengan baik, malah keadaan remaja ini sudah banyak berubah seperti cara pembawaan dia, makan dia dan sebagainya.

"Terdapat 80 orang kanak-kanak dan remaja yang diletakkan di bawah jagaan pusat perlindungan ini ketika ini dan semua mereka dijaga dengan baik," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, masyarakat perlu serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan terhadap kes membabitkan remaja berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan cenderahati kepada remaja perempuan sindrom down dikenali sebagai Bella (dua dari kiri) ketika melakukan lawatan di rumah kebajikan di bawah seliaan JKM Negeri Sembilan, hari ini. - Foto BERNAMA

Beliau berkata, masyarakat seharusnya tidak memberi banyak komen kerana ia boleh menimbulkan subjudis jika terus dibincangkan secara meluas.

"Perkara ini sudah dibawa ke mahkamah, jadi kalau kita terlalu memberi komen boleh dianggap sebagai menganggu perjalanan mahkamah, boleh bersifat subjudis terhadap perjalanan perbicaraan.

"Saya nasihatkan kita beri kepercayaan penuh kepada pihak mahkamah kendalikan kes. Ramai orang kata kenapa kerajaan tak sedia banyak peguam....tidak timbul isu kenapa kerajaan tidak hantar peguam ramai.

"Pendakwa raya atau Jabatan Peguam Negara saja yang mewakili kerajaan," tegasnya mengulas mengenai tindakan netizen di laman sosial terhadap kes berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kanan) beramah mesra bersama dengan seorang remaja perempuan sindrom down dikenali sebagai Bella (kiri) ketika melakukan lawatan di rumah kebajikan di bawah seliaan JKM Negeri Sembilan, hari ini. Turut sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun (kanan). - Foto BERNAMA

Berita Harian X