Jumaat, 22 April 2022 | 12:58pm

Kampung nelayan jadi tumpuan tokan dadah

KUALA LUMPUR: Polis menahan seramai 3,724 individu membabitkan tokan, penagih dan orang yang dikehendaki atas pelbagai kesalahan dadah di seluruh negara dalam Op Tapis Khas.

Dalam operasi tiga hari bermula Isnin lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menggempur 113 penempatan jeti haram dan perkampungan nelayan serta 168 kawasan penagihan dan pengedaran dadah.

Seramai 2,241 pegawai dan anggota dari seluruh negara dikerahkan untuk menjalankan operasi itu dan secara keseluruhan JSJN menahan dan memeriksa seramai 4,761 orang yang berusia dari 13 hingga 70 tahun.

Pengarah JSJN, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata operasi itu dilakukan selepas pihak berkuasa melihat berlaku kecenderungan aktiviti penagihan dadah dalam kalangan nelayan.

Peningkatan itu memaksa pihak berkuasa untuk menjalankan operasi dan memfokuskan jeti perkampungan nelayan di beberapa buah negeri termasuk di Sarawak, Perlis, Pulau Pinang dan Melaka sebagai antara lokasi serbuan.

Ayob Khan (tengah), ketika sidang media Op Tapis Khas Siri 3 - ‘sasaran di jeti nelayan dan tempat aktif’, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ayob Khan (tengah), ketika sidang media Op Tapis Khas Siri 3 - ‘sasaran di jeti nelayan dan tempat aktif’, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

"Objektif utama operasi khas ini adalah untuk mengesan dan menangkap tokan-tokan dadah di penempatan jeti haram serta perkampungan haram termasuklah di kawasan aktif penagihan dadah.

"Kita juga mahu kawasan penagihan ini dimusnahkan dan mengambil tindakan ke atas penagih-penagih tegar.

"Selain itu itu operasi ini turut bertujuan mengesan dan menangkap 'wanted person' atas kesalahan dadah malah JSJN mahu mengambil tindakan pencegahan ke atas pengedar dadah yang sudah dikenal pasti," katanya dalam sidang media, di Bukit Aman hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, daripada 3,724 yang ditahan, 3,574 adalah lelaki dan 150 lagi wanita manakala 189 lagi adalah warga asing.

"Di 113 jeti haram sahaja, seramai 481 orang yang terdiri dari 472 lelaki serta sembilan wanita ditangkap. Mereka adalah 69 tokan dadah, 412 penagih dan 11 yang diambil tindakan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Di kawasan penagihan aktif pula, seramai 761 orang ditangkap dengan 743 lelaki serta 18 wanita. Daripada jumlah itu 114 adalah tokan, 647 penagih dadah dan 39 lagi mereka yang diambil tindakan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya," katanya.

Secara keseluruhan mereka yang ditangkap dalam Op Tapis Khas Siri Tiga ini adalah 618 tokan dadah, 1,719 penagih dan 174 orang dikehendaki dalam pelbagai kesalahan dadah.

"Dalam operasi ini juga, kita mengesan tujuh individu bawah umur seawal usia 13 tahun dan empat daripada mereka adalah pelajar sekolah menengah. Mereka memiliki dadah dan positif THC.

"Selain itu, dua pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) turut ditahan dan sembilan penjawat awam daripada pelbagai agensi termasuklah yang berkhidmat dengan agensi penguatkuasaan negara. Lapan penjawat awam ini pula ditangkap kerana memiliki air ketum," katanya.

Antara pengedar dan penagih yang ditahan dalam ‘Op Tapis Khas Siri 3 - sasaran di jeti nelayan dan tempat aktif’ ketika sidang media Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Antara pengedar dan penagih yang ditahan dalam ‘Op Tapis Khas Siri 3 - sasaran di jeti nelayan dan tempat aktif’ ketika sidang media Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dalam Op Tapis Khas Siri Tiga ini adalah sebanyak RM3.91 juta.

"Ia termasuklah sebanyak 811.38 kilogram (kg) dan 542.37 liter pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM1.01 juta. Dadah yang dirampas adalah heroin (6.24kg), syabu (22.96kg), ketamin (0.05kg), ganja (4.92kg), pil eramin 5 (0.05 kg), pil yaba (1.43kg), ekstasi (0.09kg), serbuk ekstasi (6.11kg).

"Daun ketum (769.49 kg), pil psikotropik (0.02 kg), air ketum (526.71 liter), kodein (14.06 liter) dan cecair MDMA L (1.60 liter). JSJN juga menyita pelbagai aset bernilai 2.90 juta iaitu wang tunai RM29,096, empat akaun bernilai RM49,909.49, barang kemas (RM32,308), 38 kenderaan (RM452,900) dan seunit rumah teres bernilai RM2.3 juta," katanya.

Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A, 39C, 12(2), 15(1)(a), dan 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun serta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

Ayob Khan ketika sidang media Op Tapis Khas Siri 3 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ayob Khan ketika sidang media Op Tapis Khas Siri 3 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X