Khamis, 21 April 2022 | 8:01pm
Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan.
Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan.

'Guna bahasa Melayu supra untuk bahasa rasmi kedua ASEAN'

KUALA LUMPUR: Bahasa Melayu yang dicadangkan sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN ialah bahasa Melayu supra atau mahawangsa yang meliputi alam Melayu.

Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan, berkata sejarah mencatatkan bahasa Melayu itu sinonim dengan rakyat rantau ini mengikut kajian sejarah dan arkeologi dilakukan pakar sarjana seluruh dunia.

"Kita melihat kepada Pentas Sunda yang menempatkan penghuninya nenek moyang orang Melayu puluhan ribu tahun sebelum terpisah menjadi kepulauan atas faktor fizikal, iklim dan sebagainya.

"Waktu itu bahkan sebelum tahun 1928, ertinya bahasa Melayu tetap menjadi bahasa sinonim dengan ratusan etnik yang ada di alam Melayu terutama di Indonesia.

"Yang kita ketahui sebagai contoh bangsa Jawa, Sunda, Minangkabau, Acheh, Menado, Bugis dan sebagainya itu sebenarnya bukan etnik Melayu tetapi mereka bernaung di bawah konsep Melayu mahawangsa iaitu bangsa besar.

"Konsep budaya yang merentas ratusan etnik, ini satu fenomena besar dalam pembinaan jati diri bagi satu bangsa besar di wilayah Melayu itu," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai panel jemputan program bual bicara secara maya anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) bertajuk Bahasa Melayu, Bahasa Malaysia, Bahasa Indonesia: Apa Ada Pada Nama? di Facebook MPN hari ini.

Turut menjadi panel jemputan, Pakar bahasa, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim; Timbalan Presiden MPN, Prof Dr Kamaruddin M Said danFelo Institut Kajian Etnik (KITA), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.

Awang yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), berkata menerusi Kongres Bahasa Indonesia kali kedua pada 1954 di Medan jelas merumuskan bahasa Indonesia itu adalah bahasa Melayu, sifatnya bukan bahasa etnik semata-mata bahkan diangkat sebagai bahasa nasional.

"Saya rasa ini kebijaksanaan pemimpin Indonesia ketika itu mengambil bahasa Melayu sebagai bahasa berpotensi besar serta terbukti dalam sejarah sebagai bahasa yang sangat praktik, melalui gelombang zaman berzaman tapi sifat asasi tetap bertahan walaupun ada tambahan unsur-unsur India, Cina, Arab dan Parsi," katanya.

Sementara itu nada agak berbeza disuarakan Kamaruddin yang berpandangan Indonesia pastinya mahu keutamaan diberikan kepada bahasa Indonesia berbanding bahasa Melayu.

"Kalau penutur bahasa itu berjumlah 200 juta dan penutur bahasa Melayu kita berjumlah 20 juta, tentulah 200 juta itu yang menentukan, sebab penuturnya ramai dan ia juga berkembang dalam akademik dan budaya," katanya.

Tambah beliau, bahasa Indonesia adalah bahasa rasmi negara itu dan pastinya tidak mahu disamakan taraf dengan bahasa Melayu yang hanya diguna sebagai bahasa daerah.

"Bila kita sebut bahasa kita adalah bahasa Melayu, pada dia bahasa Melayu ialah bahasa daerah, dia jadi serba salah. Mereka hormat kita tetapi hakikatnya mereka tidak mahu bahasa Melayu dijadikan bahasa kedua ASEAN.

"Dalam kes ini, saya cenderung mengatakan selagi Malaysia berkeras menggunakan perkataan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bukannya Bahasa Malaysia, selagi itu Indonesia akan terus menolak cadangan ini," katanya.

Berita Harian X