Khamis, 21 April 2022 | 3:29pm
Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim. - Foto ihsan UKM
Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim. - Foto ihsan UKM

'Bantah bahasa Melayu jadi bahasa kedua ASEAN bersifat politik'

KUALA LUMPUR: Penolakan segelintir pihak di Indonesia terhadap cadangan Malaysia menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua blok ASEAN sudah dijangka.

Pakar bahasa, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, berkata strategi untuk mencadangkan perkara itu patut dibincangkan dahulu semua pihak berkaitan dan dipersetujui sebelum dikemukakan sebagai satu gagasan.

Beliau juga melihat bantahan atau protes pihak di Indonesia terhadap cadangan nama bahasa Melayu itu lebih bersifat politik dan tidak ada asas ilmunya.

"Cadangan Perdana Menteri ini saya sudah jangka akan mendapat reaksi di Indonesia.. Malaysia mengemukakan cadangan dan mencadangkan nama bahasa Melayu yang tidak dianggap mereka sebagai bahasa Indonesia.

"Jadi memang bantahan dijangkakan , bantahan ini bersifat politik. Kalau dilihat dari segi ilmu, ada bahasanya yang dituturkan asalnya orang Indonesia ambil daripada pertuturan bahasa di Jambi dan kepulauan Riau, dituturkan juga masyarakat di Malaysia, Brunei dan Singapura.

"Sebagai ahli bahasa, saya akan mengatakan bahasa Melayu memang sesuai, tapi jika ditanya dari segi tujuan menjadikan bahasa rasmi kedua kawasan yang lebih besar iaitu ASEAN, perkara itu perlu dibincangkan, lihat pelbagai pandangan untuk mendapat kata sepakat," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai panel jemputan program bual bicara secara maya anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) bertajuk Bahasa Melayu, Bahasa Malaysia, Bahasa Indonesia: Apa Ada Pada Nama? di Facebook MPN hari ini.

Turut menjadi panel jemputan, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan; Timbalan Presiden MPN, Prof Dr Kamaruddin M Said dan

Felo Institut Kajian Etnik (KITA), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.

Nik Safiah berkata, dalam membuat membuat perancangan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN, kepentingan dan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan juga wajar menjadi keutamaan.

"Sebab itu saya bersetuju sambil kita membuat perancangan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN, kita jangan lupa keperluan untuk jaga 'rumah tangga' sendiri.

"Malaysia sendiri penuh dengan cabaran dan masalah, sebab kita belum lagi berjaya menjadikan bahasa kebangsaan sebagai lambang perpaduan, kecintaan terhadap negara dan penyatuan rakyat.

"Oleh sebab itu harapan saya memang besar, yang perlu disertai tindakan yang tegas , bukan saja oleh rakyat tapi juga pucuk pimpinan negara," katanya.

Pada 23 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Malaysia akan berbincang dengan pemimpin serantau untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN dalam usaha memartabatkan bahasa ibunda pada peringkat antarabangsa.

Ketika lawatan rasmi Ismail Sabri ke Indonesia baru-baru ini, beliau sudah memaklumkan rakan sejawatannya, Presiden Indonesia, Joko Widodo, mengenai hasrat untuk memartabatkan bahasa Melayu dan menjadikannya sebagai bahasa rasmi ASEAN.

Susulan itu Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim, menolak cadangan Malaysia untuk menjadikan bahasa Melayu, sebagai bahasa rasmi kedua blok ASEAN.

Beliau mendakwa, bahasa Indonesia pilihan lebih baik untuk digunakan sebagai bahasa utama bagi ASEAN kerana ia paling banyak digunakan di Asia Tenggara, dengan penggunaannya tersebar di lebih 47 negara.

Sementara itu Kok Seong berkata, muafakat sosio linguistik antara negara mampu membantu merealisasikan cadangan bahasa Melayu menjadi bahasa kedua ASEAN dan merapatkan kelainan-kelainan dalam bahasa Melayu itu secara umumnya.

"Kita sebenarnya sudah ada muafakat sosio linguistik itu dalam bentuk Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM), yang mana banyak sisi bahasa Melayu dibina melalui proses kod untuk menjadikan ia bahasa saintifik moden.

"Antaranya ialah ejaan yang diperkenalkan pada 1972 untuk diguna pakai di Malaysia dan Indonesia yang kemudiannya ikut digunakan di Brunei dan Singapura.

"Begitu juga dengan unsur linguistik yang lain, semuanya bertujuan untuk membina bahasa Melayu sebagai bahasa supra alam Melayu. Melalui MABBIM, semua negara yang mana bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan atau rasmi, memperoleh manfaat linguistik bahasa Melayu itu," katanya.

Berita Harian X