Rabu, 20 April 2022 | 12:05pm
Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal. - NSTP/ROSELA ISMAIL
Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal. - NSTP/ROSELA ISMAIL

Kes Bella: Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak sudah ambil tindakan segera

KUALA LUMPUR: Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menegaskan pihaknya sudah mengambil tindakan segera sebaik dimaklumkan mengenai kes Bella, remaja perempuan Sindrom Down yang didakwa didera pengasas Rumah Bonda.

Justeru, OCC memaklumkan pihaknya terkilan dengan penulisan seorang pengamal undang-undang di dalam sebuah akhbar pada 15 April lalu yang dilihat berniat memfitnah OCC dalam menjalankan tugas dan fungsinya.

OCC dalam kenyataan memaklumkan, Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal mengarahkan tindakan segera diambil yang mana pada 16 Julai tahun lalu kenyataan media dikeluarkan menggesa semua langkah diambil bagi memastikan suspek didakwa dengan segera.

"Pada 19 Julai 2021 juga, OCC sudah mengambil inisiatif sendiri menyiasat kes walaupun tidak ada aduan dilaporkan kepada OCC, malah turut menghubungi polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak yang terkait kes ini.

"Tiga hari kemudian, OCC menerima surat daripada Persatuan Sindrom Down Malaysia, memohon SUHAKAM memastikan pendakwaan dapat dilakukan semula ke atas suspek dengan segera.

"OCC berhubung dan membuat susulan lanjut dengan Bahagian D11 Bukit Aman berhubung tarikh baharu untuk suspek didakwa semula di mahkamah.

"Pada 1 Oktober 2021, OCC memohon kepada Bahagian Kanak-kanak JKM untuk membuat lawatan pemantauan ke Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, pusat di mana adik Bella ditempatkan tetapi lawatan tidak dibenarkan kerana kebimbangan penularan COVID-19 kepada kanak-kanak di institusi.

"Oleh itu, dari Januari 2022 sehingga hari ini, OCC menghantar peguam pemerhati kami untuk memantau perjalanan kes di mahkamah kerana membabitkan hak kanak-kanak dan kepentingan awam, dan dibenarkan mahkamah," katanya.

OCC memaklumkan, selaras peruntukan Seksyen 12 Akta SUHAKAM 1999 (Akta 597), sebaik pertuduhan dibuat, pihaknya tidak boleh campur tangan dan mengganggu proses keadilan yang sedang berjalan.

Tambah kenyataan itu, Pesuruhjaya Kanak-Kanak sangat terbuka untuk bekerja dan sentiasa mengadakan libat urus bersama ribuan aktivis kanak-kanak dari dalam dan luar negara tanpa mengira bangsa, warna kulit atau fahaman politik.

"Semua kita berasa geram dan sedih apabila membaca laporan perbicaraan adik Bella. Namun sebagai anggota masyarakat, kita perlu berhati-hati dalam membuat kenyataan supaya tidak lebih mengeruhkan keadaan.

"Kita juga bertanggungjawab mendidik masyarakat untuk memberi kepercayaan kepada institusi kehakiman. Ahli masyarakat juga diingatkan tidak mengganggu proses perbicaraan kerana undang-undang membenarkan tertuduh untuk mempertahankan dirinya.

"OCC sangat mementingkan keselamatan adik Bella dan yakin kezaliman dilakukan terhadapnya akan terbela dan ditegakkan oleh mahkamah yang mulia," katanya.

Berita Harian X