Selasa, 19 April 2022 | 9:11am
Tangkap layar beberapa kurniaan istana yang dimuat naik pemilik akaun TikTok 'shafeqyahya'- Foto NSTP/Ihsan RPO
Tangkap layar beberapa kurniaan istana yang dimuat naik pemilik akaun TikTok 'shafeqyahya'- Foto NSTP/Ihsan RPO

Jangan salah guna kurniaan istana - Permaisuri Johor

JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Idris Shah bertitah sebarang kurniaan daripada Istana Johor tidak sepatutnya disalah gunakan untuk meraih populariti di media sosial.

Merujuk kepada akaun 'shafeqyahya' di TikTok yang menayang beberapa hadiah kurniaan daripada Istana Bukit Serene, Johor Bahru, baginda bertitah tidak mengenali individu pemilik akaun itu.

"Saya tahu hadiah-hadiah itu dan ia sebenarnya hadiah kurniaan kepada sesetengah pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri Johor sebagai penghargaan ikhlas atas perkhidmatan mereka.

"Saya tidak mengenali siapa 'shafeqyahya' ini dan saya mengesyaki hadiah-hadiah itu disalah gunakan untuk meraih ikutan dan populariti di media sosial, seolah-olah mempunyai hubungan yang rapat dengan Keluarga DiRaja Johor," titah baginda dalam hantaran di media sosial facebook, The Royal Johor.

Sehubungan itu, baginda bertitah satu laporan polis akan dibuat untuk menyiasat sama ada wujudnya elemen salah guna ataupun menyamar sebagai pegawai kerajaan Johor.

Dalam beberapa video TikTok yang dikongsikan pemilik akaun itu memaparkan beberapa kurniaan dari Istana Johor seperti loket rantai, syiling berwarna emas, set pen dan tasbih dan samping raya.

Ada di antara perkongsian itu mendapat tanda suka lebih 19,000.

Berita Harian X