Isnin, 18 April 2022 | 9:29pm
Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat Datasonic, Safian Mohd Yunus (baju kelabu) bergambar bersama anak asnaf yang diraikan pada majlis iftar - Foto NSTP
Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat Datasonic, Safian Mohd Yunus (baju kelabu) bergambar bersama anak asnaf yang diraikan pada majlis iftar - Foto NSTP

Datasonic santuni 55 anak asnaf

KUALA LUMPUR: Seramai 55 anak-anak asnaf dari Asrama Darul Falah (ASDAF) diraikan dalam satu majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan anjuran syarikat Datasonic Group Berhad di sebuah hotel di sini, hari ini.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat Datasonic, Safian Mohd Yunus berkata, Majlis Iftar Datasonic ini julung-julung kali diadakan bertujuan menceriakan anak-anak asnaf dengan jamuan makan serta sumbangan duit raya.

"Sejak awal tahun ini, Datasonic sudah menyantuni anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan menerusi beberapa program dan sumbangan seperti Program Kembali ke Sekolah dan sumbangan bagi penyelenggaraan infrastruktur asrama.

"Majlis iftar ini juga termasuk dalam usaha kami untuk berkongsi kegembiraan bersama mereka dalam Ramadan yang mulia ini, lebih-lebih lagi dengan Syawal yang bakal menjelang," katanya kepada media, hari ini.

Katanya, seramai 55 pelajar ASDAF diraikan dalam majlis berbuka puasa yang turut dihadiri oleh ahli-ahli jawatankuasa pentadbirannya termasuk Pengerusi ASDAF, Abdul Halim Mohamed.

Pada majlis ini, tazkirah Ramadan turut disampaikan oleh pendakwah, Sheikh Hussein Yee yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Al-Khaadem.

Yang turut hadir, Pengurus Besar, Sokongan Jualan dan Pemasaran NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Mengulas lanjut, Safian berkata selain jamuan makan, anak-anak ini turut menerima sumbangan duit raya sebanyak RM50 seorang daripada pihak Datasonic.

"ASDAF ditubuhkan pada 19 Ogos 1995 di Bukit Persekutuan di sini, dan ia adalah fasiliti khas untuk menempatkan dan menjaga anak-anak Orang Asli di peringkat menengah bagi tujuan pendidikan dan kebajikan.

"Buat masa ini ASDAF menempatkan 55 pelajar dari negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan kebanyakan daripada mereka juga adalah daripada golongan susah dan anak yatim," katanya.

Katanya lagi, Datasonic komited untuk memberikan bantuan kepada anak-anak asnaf di ASDAF dan baru-baru ini pihaknya menyumbangkan RM30,000 untuk membaik pulih asrama kediaman.

Berita Harian X