Isnin, 18 April 2022 | 9:22pm
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz disambut Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong ketika melakukan kunjungan hormat ke negara berkenaan hari ini - Foto NSTP/FB MB Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz disambut Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong ketika melakukan kunjungan hormat ke negara berkenaan hari ini - Foto NSTP/FB MB Johor.

Johor gerak pasukan petugas selesaikan kesesakan Tambak Johor

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor menggerakkan pasukan Task Force bagi mencari penyelesaian kesesakan di tambak Johor yang kerap berlaku terutama ketika hujung minggu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia adalah penyelesaian jangka pendek sementara Projek Sistem Transit Rapid (RTS) siap menjelang 2026.

Beliau berkata, sistem pengangkutan moden ini yang bakal siap pada tahun 2026 dapat menangani masalah kesesakan yang sering berlaku di tambak Johor.

"Saya turut yakin apabila projek RTS siap kelak ia akan membawa limpahan ekonomi yang besar kepada rakyat dan negeri Johor khususnya di Johor Bahru," katanya.

Onn Hafiz berkata demikian menerusi perkongsian di laman sosial facebook (fb).

Beliau berkesempatan melawat tapak projek Rapid Transit System (RTS) Singapura-Johor Bahru Link Woodlands North Terminus bersama-sama Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran.

Terdahulu, Onn Hafiz melakukan kunjungan hormat ke Singapura.

Beliau disambut Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

Onn Hafiz berkata, banyak perkara yang dibincangkan dalam pertemuan berkenaan, antaranya bagaimana Johor boleh meningkatkan kerjasama dengan Singapura.

"Kami turut berbincang tentang ekonomi, infrastruktur, dan golongan belia.

"Hubungan erat Johor dan Singapura memang terjalin sejak sekian lama, semoga hubungan ini dapat dieratkan lagi demi kebaikan rakyat Johor dan Singapura," katanya.

Berita Harian X