Isnin, 18 April 2022 | 3:12pm

ERL hantar 25 kakitangan bantu operasi Makkah Metro

KUALA LUMPUR: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) akan menghantar 25 kakitangan ke Arab Saudi bagi menyokong operasi Al Mashaaer Al Mugaddasah Makkah Metro (Makkah Metro) sempena musim haji pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noormah Mohd Noor, berkata 2022 adalah tahun kesembilan ERL menyediakan sokongan operasi kepada Makkah Metro.

Selain itu katanya, ERL sekali lagi akan bekerjasama dengan China Railway Construction Corporation Limited (CCRC) iaitu syarikat operasi laluan rel yang dilantik kerajaan Arab Saudi mengendalikan operasi laluan Makkah Metro pada tahun ini.

"Pengumuman terkini oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi membenarkan satu juta jemaah dari dalam dan luar negara menunaikan ibadah, juga membuka peluang kepada ERL sekali lagi meminjamkan kakitangan operasinya bagi memberikan sokongan operasi Makkah Metro selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian akibat pandemik COVID-19.

"Sistem keretapi sejauh 18 kilometer ini menghubungkan Arafah, Muzdalifah dan Mina dan hanya beroperasi selama tujuh hari dalam setahun bagi membawa jemaah ketika puncak ibadah Haji hingga selesai ibadah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penghantaran kakitangan ERL yang diadakan di KL Sentral yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementrian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak, hari ini.

Noormah berkata, kejayaan Makkah Metro diperakui umat Islam seluruh dunia melalui berbagai pengiktirafan peringkat global.

"Kami amat berbesar hati kerana sekali lagi diberikan kepercayaan oleh CRCC Saudi bagi menyediakan kakitangan operasi terlatih bagi menyokong operasi Makkah Metro untuk tempoh tiga tahun sehingga 2024.

"Kepercayaan yang diberikan ini menjadi bukti kepada komitmen dan kekuatan ERL dalam memberikan perkhidmatan bertaraf dunia. Tugas tahun ini pastinya akan memberikan cabaran baharu kepada kakitangan memandangkan mereka perlu memastikan keselamatan jemaah mengikut protokol kesihatan yang ketat," katanya.

Namun katanya, beliau yakin pengalaman, kemahiran serta kecekapan kakitangannya akan memastikan operasi tren berjalan lancar di samping mengekalkan rekod baik syarikat.

Dalam pada itu, Isham memuji inisiatif syarikat dalam mengembangkan perkhidmatan ke luar negara, selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara.

Isham kemudiannya menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Pasukan ERL, Putera Wan Jaffri Abdul Hamid yang juga kali ketujuh beliau dihantar ke Arab Saudi bagi tujuan sama.

Sementara itu, menurut Noormah, 25 kakitangannya serta anak syarikat, ERL Maintenance Support Sdn Bhd (E-MAS) akan dipinjamkan bagi tempoh dua hari hingga tiga bulan.

"Pasukan pertama terdiri daripada 10 kakitangan kanan akan berangkat ke Arab Saudi pada lusa (20 April) manakala baki 15 orang lagi bertolak pada 20 Mei 2022.

"Mereka akan menyandang beberapa jawatan seperti Timbalan Pengurus Stesen, "Station Master", Pembantu "Station Master" dan Pegawai Bilik Kawalan Stesen," katanya.

Sejak dilancarkan pada 2010, perkhidmatan Makkah Metro berjaya mengurangkan kesesakan dan pencemaran di samping menyediakan pilihan pengangkutan yang lebih selesa dan selamat buatjemaah.

Jemaah perlu berada di Arafah pada 9 Zulhijah untuk menjalani Wukuf dan seterusnya ke Muzdalifah sebelum ke Mina pada keesokan harinya.

Perjalanan hanya akan mengambil masa kurang dari satu jam dengan menaiki Makkah Metro yang dahulunya memerlukan sejumlah 4,000 bas di atas jalan raya dan mengambil masa sehingga tujuh ke lapan jam.

Sebelum COVID-19 melanda, tren terbabit boleh membawa sehingga 500,000 jemaah dalam masa enam hingga lapan jam yang disokong oleh 5,000 tenaga kerja yang memastikan operasi tren dan sembilan stesen berjalan lancar semasa musim haji.

Tanggungjawab yang akan digalas mereka termasuklah pengurusan stesen, platform dan operasi bilik menunggu, kawalan operasi dan pemandu tren.

Sementara itu, pegawai stesen, Teddi Hadianto, 42, menyifatkan pemilihan berkhidmat untuk operasi Makkah Metro adalah rezeki yang tidak pernah diimpikan sebelum ini.

"Ini adalah kali pertama saya terpilih dan memerlukan banyak persiapan, persiapan fizikal dan mental kerana perlu berjauhan dengan keluarga selama tiga bulan.

"Saya diberitahu akan ditugaskan mengendalikan 'crowd control'," katanya yang tinggal di Segambut dan mempunyai enam cahaya mata berusia antara lima dan 16 tahun.

 Isham (tengah) menyerahkan Jalur Gemilang kepadaPutera Wan Jaffri (kanan) mewakili 25 kakitangan ERL, yang akan bertugas pada musim haji tahun ini, disaksikan (dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif E-MAS, Thomas Baake, Noormah dan Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Datuk Azlan Shah Al Bakri di KL Sentral. -Foto NSTP/Aziah Azmee
Isham (tengah) menyerahkan Jalur Gemilang kepadaPutera Wan Jaffri (kanan) mewakili 25 kakitangan ERL, yang akan bertugas pada musim haji tahun ini, disaksikan (dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif E-MAS, Thomas Baake, Noormah dan Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Datuk Azlan Shah Al Bakri di KL Sentral. -Foto NSTP/Aziah Azmee
Berita Harian X