Sabtu, 16 April 2022 | 6:00pm

Sabah sambut ketibaan penerbangan pertama Singapura

KOTA KINABALU: Seramai 119 penumpang yang menaiki penerbangan AirAsia AK1794 dari Singapura yang pertama tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), hari ini, selepas pembukaan sempadan yang berkuat kuasa pada 1 April lalu.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, berkata Singapura adalah pasaran penting bagi sektor pelancongan Sabah.

Katanya, ini kerana ia telah menjadi pasaran tumpuan dan hab penting yang menghubungkan pasaran tumpuan lain di seluruh dunia ke Sabah.

"Kita tahu rakyat Singapura sangat sukakan alam semula jadi, aktiviti menyelam dan sebagainya. Kita sangat bersyukur mereka memilih Sabah sebagai destinasi untuk aktiviti ini.

"Dengan pembukaan semula sempadan sejak 1 April dan pengembalian semula penerbangan terus dari Singapura ini, mereka boleh mengintai peluang untuk berehat daripada rutin harian dan melakukan semula aktiviti yang diminati mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas menyambut ketibaan penumpang Air Asia AK1794 dari Singapura ke Sabah bertempat di KKIA, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar, Datuk Mohd Yusrie Abdullah, Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Noredah Othman, Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh Sandhu dan Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Ednie Rahma Ab Rahim.

Dalam pada itu, Joniston berkata, pihaknya telah menyusun beberapa program promosi sebagai langkah permulaan untuk menarik semula pelancong Singapura ke Sabah.

Antaranya, penyertaan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan pemain industri Sabah ke 'Travel Malaysia Digital Fair' bermula 22 sehingga 22 April nanti.

"Memandangkan sekatan perjalanan sudah ditarik balik dan sempadan dibuka semula, jalan menuju pemulihan ekonomi memerlukan usaha kerjasama semua pihak berkepentingan dan pemain industri.

"Saya menggalakkan semua perniagaan dan usahawan untuk kekal berdaya tahan semasa kita mengharungi pandemik," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, syarikat tambang rendah AirAsia telah menjadi penyumbang penting kepada ekonomi Sabah melalui pelancongan dan hospitaliti sejak kehadirannya pada 2001.

"Saya gembira mendapat tahu bahawa AirAsia telah mengembangkan tawarannya melangkaui penerbangan, dan kini menjadi 'rumah' kepada beberapa usaha niaga e-dagang yang berkembang maju iaitu AirAsia Super App.

"Selaras dengan peralihan kepada fasa endemik, saya percaya bahawa pelaksanaan semula operasi penerbangan antarabangsa ini datang pada masa yang sesuai untuk kedua-dua pelancong dan penduduk tempatan di Sabah," katanya.

Sebelum pandemik COVID-19, Sabah menerima seramai 126,000 penumpang melalui Singapura dengan rakyat Singapura menyumbang seramai 34,000 daripada jumlah terbabit.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial AirAsia, Tan Mai Yin berkata, pihaknya kini mengendalikan penerbangan tiga kali seminggu antara Singapura dan Kota Kinabalu, dengan penerbangan harian bermula pada 29 April.

"Kami juga sedang mengkaji penerbangan terus dari Thailand, Filipina, dan Indonesia ke Kota Kinabalu. Kami teruja dengan perkara ini dan kami akan mengumumkan kemas kini selanjutnya," katanya.

Pembantu Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai (kiri) menyambut penumpang yang tiba dari Singapura di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu hari ini. STR/MOHD ADAM ARININ
Pembantu Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai (kiri) menyambut penumpang yang tiba dari Singapura di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu hari ini. STR/MOHD ADAM ARININ
Berita Harian X