Jumaat, 15 April 2022 | 7:04pm

Gaji minimum: MTUC gesa kerajaan segera bincang dengan pihak berkepentingan

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkepentingan secepat mungkin berhubung cadangan pengecualian bagi pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor, berkata langkah itu perlu bagi mengelak kemarahan pekerja terhadap kerajaan.

Beliau berkata, pengecualian terbabit adalah tidak baik kepada pekerja bawahan kerana dilihat akan menyebabkan mereka terpinggir, ditindas dan dinafikan hak untuk kenaikan gaji.

"Penangguhan selama setahun sebagaimana dicadangkan, adalah tempoh tidak munasabah. Malah, kegusaran kerajaan mengenai pembuangan pekerja disebabkan kegagalan syarikat membayar gaji mengikut paras minimum baharu, adalah tidak rasional.

"MTUC percaya bahawa kerajaan tidak akan mendiskriminasikan pekerja dengan memberi pengecualian kepada sektor tertentu, kerana keseluruhan pekerja sangat terkesan dengan kenaikan kos barang.

"Sudah pasti kerajaan mempunyai perancangan dan memikirkan kebajikan pekerja bagi melaksanakan paras gaji minimum RM1,500," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, dilaporkan berkata industri pelancongan dan hotel negara dikecualikan daripada pelaksanaan gaji minimum RM1,500 yang bakal berkuat kuasa 1 Mei depan.

Pengecualian khas itu diberikan dengan mengambil kira kesan pandemik COVID-19 yang berlarutan sejak dua tahun lalu, sehingga menyaksikan kedua-dua sektor berkenaan mengalami kerugian besar.

Mengulas lanjut, Kamarul Baharin menegaskan, pekerja hotel dikhuatiri akan berasa kecewa sehingga mengambil langkah drastik sekiranya pengecualian itu diberikan kepada industri berkenaan.

Beliau berkata, ia berikutan sebelum ini mereka pernah memperjuangkan perkara sama di Mahkamah Persekutuan susulan majikan didakwa gagal membayar gaji minimum mengikut peruntukan akta ketika itu.

"MTUC tidak mahu zaman gelap pekerja hotel berterusan. Kekecewaan sedemikian akan mengakibatkan mereka mengambil langkah drastik dengan mencari pekerjaan baharu yang dibayar mengikut kadar gaji minimum baharu, sekali gus menjejaskan industri berkenaan.

"Justeru, MTUC akan menunggu pewartaan perintah gaji minimum oleh kerajaan dan membawa perkara ini kepada mesyuarat Majlis Am MTUC untuk membuat keputusan.

"Jika pengecualian dan penangguhan dilaksanakan, Majlis Am MTUC berhak untuk mengambil tindakan kerana kelangsungan hidup pekerja harus diutamakan," katanya.

Berita Harian X