Khamis, 14 April 2022 | 7:04pm
Gambar hiasan BERNAMA
Gambar hiasan BERNAMA

Tiket pesawat di Sabah naik hingga 500 peratus

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyifatkan kenaikan harga tiket penerbangan terlalu tinggi khususnya dari Semenanjung ke Sabah bakal menyebabkan jumlah kedatangan pelancong terjejas.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata kenaikan harga tiket itu juga dilihat bakal mempengaruhi jumlah sasaran pelancong memasuki Sabah susulan pembukaan sempadan yang dikuatkuasakan 1 April lalu.

Katanya pihaknya juga turut menerima rungutan dari rakyat negeri ini berhubung kenaikan harga tiket bukan sahaja membabitkan penerbangan domestik antara negeri malah juga antara daerah.

"Kita sedia maklum negeri Sabah hanya boleh diakses menerusi penerbangan dan kebelakangan ini kita menerima rungutan kenaikan harga tiket yang begitu drastik sehingga melebihi 500 peratus.

"Walaupun ini adalah perniagaan (untuk syarikat penerbangan) seperti dalam mesyuarat Kabinet menteri baru-baru ini, kita memandang serius dan meminta Kementerian Pengangkutan (MOT) melihat perkara ini.

"Saya ambil contoh hari ini sahaja ada satu penerbangan dari Kota Kinabalu ke Tawau (penerbangan antara daerah) mencecah tambang RM1,300 dan ini sangat mengarut kerana kebiasaannya hanya dalam sekitar RM200 hingga RM300," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas sebelum Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Sumbangan berlangsung di sini, hari ini.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai dan Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Mohd Yusrie Abdullah.

Berita Harian X